Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
42) ISU PERCERAIAN DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah faktor-faktor yang mendorong Selangor mencatatkan jumlah perceraian tertinggi berbanding negeri-negeri yang lain pada tahun 2023?
Berdasarkan pemerhatian, faktor-faktor yang mendorong Selangor mencatatkan jumlah perceraian tertinggi berbanding negeri-negeri lain antaranya adalah sebagaimana berikut:
1. Pembangunan pesat di Negeri Selangor.
Pembangunan yang pesat di Negeri Selangor merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di Negeri Selangor. Pertumbuhan ekonomi yang rancak di Lembah Klang mengakibatkan Negeri Selangor menjadi hub utama bagi semua sektor pembangunan ekonomi. Banyak peluang pekerjaan ditawarkan mengakibatkan kadar komposisi penduduk di Negeri Selangor meningkat.
Melalui semakan yang dibuat ke atas statistik anggaran penduduk semasa di Malaysia pada tahun 2023 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada tahun 2023 di mana peratusan komposisi penduduk di Selangor adalah sebanyak (21.6%) diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (10.8%).
Dua daerah di Selangor pula iaitu daerah Petaling dan Hulu Langat mencatatkan bilangan penduduk tertinggi di Malaysia pada tahun 2023 dengan jumlah masing-masing sebanyak 2.3 juta dan 1.5 juta penduduk di setiap daerah.
2. Migrasi penduduk luar Negeri Selangor ke Negeri Selangor
Migrasi dalaman melibatkan penduduk dari luar Negeri Selangor serta migrasi antarabangsa melibatkan penduduk dari luar Malaysia yang datang bekerja di Lembah Klang selain tawaran peluang pekerjaan yang tinggi di sekitar Lembah Klang menyumbang kepada bilangan penduduk yang tinggi di Negeri Selangor.
Penduduk luar Negeri Selangor yang bernikah di luar Negeri Selangor dan kemudiannya bekerja dan bermastautin dalam Negeri Selangor sudah tentunya akan mendaftarkan perceraian mereka di Negeri Selangor kerana setiap masalah berkaitan institusi kekeluargaan yang timbul akan didaftarkan dan diselesaikan berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon.
3. Kos sara hidup yang tinggi di Negeri Selangor berbanding negeri lain.
Kos sara hidup yang tinggi juga dilihat menyumbang kepada jumlah perceraian yang tinggi di Selangor. Peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup ini mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.
Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi. Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian.
5. Kadar kefahaman undang-undang syariah yang tinggi di Negeri Selangor.
Budaya literasi undang-undang syariah yang sentiasa meningkat sama ada melalui penganjuran program-program literasi undang-undang syariah oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor atau agensi-agensi lain serta hebahan dan promosi di media sosial dilihat turut menyumbang kepada peningkatan kes perceraian di Negeri Selangor.
Pihak-pihak dalam perkahwinan telah mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan tanggungjawab serta hak-hak dalam perkahwinan. Kadar kefahaman undang-undang syariah yang tinggi ini telah membantu meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang remedi yang boleh diterima sekiranya berlaku kegagalan pihak satu lagi menyediakan keperluan.
Informasi berkaitan hak dan tanggungjawab dalam rumah tangga banyak dikongsikan melalui platform media sosial juga menjadi faktor kepada masyarakat untuk lebih memahami hak dan tanggungjawab mereka dalam rumah tangga.
Selain itu, akses kepada perkhidmatan Peguam Syarie sama ada Peguam Syarie yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan atau pun swasta dilihat banyak membantu masyarakat di Negeri Selangor mendapatkan hak mereka melalui sistem kehakiman dan perundangan yang betul seterusnya menyumbang kepada jumlah perceraian yang tinggi di Selangor.
JAKESS mencadangkan supaya satu kajian yang menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi untuk mengenal pasti punca perceraian di Selangor supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai oleh kerajaan negeri atau agensi yang berkaitan untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor.