Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

157) ISU PENYELENGGARAAN DI RUMAH KOS RENDAH

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri banyak membantu rakyat memiliki rumah kos rendah. Namun begitu, tertimbul banyak isu-isu penyelenggaraan rumah-rumah kos rendah apabila pihak JMB/MC tidak mampu mengutip bayaran daripada penduduk-penduduk. Adakah terdapat sebarang cara penyelesaian yang di ikhtiarkan oleh pihak Kerajaan Selangor?

    Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] telah memperuntukkan kaedah kepada pihak pengurusan pangsapuri iaitu pemaju, badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC) atau ejen pengurusan yang dilantik Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk mendapatkan kutipan bayaran caj seperti berikut:

     

    i-                 Seksyen 34, 78 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]

     

    Memfailkan saman atau tuntutan ke mahkamah atau Tribunal Pengurusan Strata. Sekiranya, pemilik masih ingkar mematuhi keputusan mahkamah atau tribunal, mereka boleh didakwa ke mahkamah oleh COB melalui izin pendakwaan dan apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan dalam suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagiannya kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

     

    ii-               Seksyen 35, 79 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]

     

    Melaksanakan penahanan harta alih. Pihak Berkuasa Tempatan telah diminta untuk membantu membuat operasi bersepadu bersama pihak pengurusan pangsapuri untuk melaksanakan proses penahanan harta alih dan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan.

     

     

    Selain itu, bagi tahun 2019 Kerajaan Negeri akan melaksanakan duplikasi projek K-Inovasi yang telah dimenangi di peringkat Kerajaan Negeri oleh JMB Pangsapuri Kenanga Gombak Permai dan JMB Iris, Saujana Utama yang didapati memberi impak untuk memberdayakan kemampuan kewangan pihak pengurusan pangsapuri seperti berikut:

     

    i-                 Pusat Kitar Strata dengan pemberian kupon kepada pemilik yang boleh dikontra dengan pembayaran caj.

     

    ii-               Pusat pembayaran sehenti melalui mesin E-payment di pejabat pengurusan pangsapuri untuk memudahkan pemilik melaksanakan lain-lain bayaran seperti bil utiliti, tambah nilai prabayar telefon dan sebagainya.

     

    Projek K-Inovasi yang terpilih ini bukan sahaja memberi impak untuk memberdaya kemampuan kewangan malahan lain-lain kesan positif seperti berikut:

     

    i-                 Mengeratkan hubungan melalui kaedah komunikasi bersemuka antara pihak pengurusan pangsapuri dan pemilik supaya input-input pengurusan dan penyenggaraan pangsapuri dapat dihebahkan secara meluas serta meningkatkan kepercayaan pemilik dengan pihak pengurusan pangsapuri seterusnya memberi kesan kepada penambahan hasil kutipan caj.

     

    ii-               Menjimatkan kos pengurusan dan penyenggaraan bangunan melalui pendidikan budaya di pelbagai peringkat umur yang bermula dengan penjagaan kebersihan dan pengurangan pembuangan sampah domestik seterusnya memelihara serta menggunakan harta bersama yang lain dengan cermat.

Lampiran

Tiada Lampiran.