Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

102) ISU PENJUALAN LOT BUMI KEPADA BUKAN BUMIPUTERA DI USJ ONE PARK

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan status terkini untuk menyelesaikan isu penjualan lot bumi kepada bukan bumiputera di USJ One Park.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat berkenaan isu tersebut dan kali terakhir diadakan pada 14 Julai 2022 yang telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Puan Rodziah binti Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar Dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor. Di dalam mesyuarat tersebut telah diputuskan beberapa perkara dan tindakan yang perlu diambil oleh pihak agensi terlibat seperti berikut :

    1. Pelikuidasi Pemaju iaitu Tetuan Ascentia Corporate Advisory Sdn. Bhd.
      Perlu mengemukakan senarai aset-aset/ harta dan wang tunai yang dimiliki.
    2. Pelikuidasi Pemilik Tanah iaitu Tetuan DC Restructuring Solution PLT
      Perlu mengemukakan senarai aset-aset/ harta dan wang tunai yang dimiliki dan maklumat syarikat.
    3. JMB USJ One Park
      Perlu mengemukakan salinan Perjanjian Jual Beli bagi 211 unit yang terlebih jual kepada pembeli bukan Bumiputera.
    4. Tetuan Peguam K.Y. Soo
      Telah mengemukakan senarai nama pembeli sebanyak 29 unit kepada pihak LPHS. Walau bagaimanapun, 5 unit telah memperoleh kelulusan pindah milik manakala selebihnya 24 unit masih belum memperoleh kelulusan. Bagi 5 unit yang telah memperoleh kelulusan tersebut, pihak Peguam K.Y. Soo perlu berhubung terus dengan pihak PTGS untuk tindakan selanjutnya.
    5. LPHS pada 19 Ogos 2022telah mengadakan perjumpaan / perbincangan bersama pihak Pelikuidasi Pemilik Tanah iaitu Tetuan DC Restructuring Solution PLT dan pihak Pelikuidasi Pemaju iaitu Ascentia Corporate Advisory Sdn. Bhd. Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua pihak Pelikuidasi akan mengemukakan maklumat / dokumen-dokumen yang diperlukan sebagaimana yang telah diputuskan oleh mesyuarat pada             14 Julai 2022 tersebut.
    6. Status / perkembangan terkini daripada agensi berkaitan.
      i. Pelikuidasi Pemaju iaitu Ascentia Corporate Advisory Sdn. Bhd dan Pelikuidasi Pemilik Tanah iaitu Tetuan DC Restructuring Solution PLT
      Telah mengemukakan dokumen-dokumen seperti Borang 9, Borang, 24, Borang 49, Borang 75, Akaun Penerimaan & Pembayaran oleh Pelikuidasi, Laporan Kes Terkini, Laporang Kewangan – 31 Mac 2007 dan Penyata Akaun Bank terkini pada 03 November 2022.
      ii. JMB USJ One Park
      Telah mengemukakan salinan Perjanjian Jual Beli bagi 211 unit rumah yang terlebih jual kepada pembeli bukan Bumiputera pada  04 November 2022.
      iii. Peguam K.Y. Soo
      Telah mengemukakan permohonan kepada PTGS bagi 5 unit yang telah memperoleh kelulusan Consent.
    7. Satu sesi perjumpaan / perbincangan telah diadakan diantara LPHS dan pihak Pelikuidasi Pemilik Tanah iaitu Tetuan DC Restructuring Solution PLT dan pihak Pelikuidasi Pemaju iaitu Ascentia Corporate Advisory Sdn. Bhd. pada 02 Disember 2022 untuk pemohon mengemukakan permohonan rasmi Permohonan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor.
    8. Pada sesi perjumpaan tersebut, pentadbiran ini turut mengemukakan Senarai Semak dan Borang Permohonan Rasmi kepada pemohon untuk pemohon mengemukakan permohonan tersebut. Pemohon dikehendaki melengkapkan dan mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti di dalam senarai semak sebelum mengemukakan permohonan rasmi.
    9. Setelah pihak pemohon mengemukakan permohonan rasmi, LPHS akan memproses dan seterusnya mengeluarkan surat kelulusan pelepasan kuota Bumiputera kepada pihak pemohon.
    10. Pihak Pelikuidasi Pemilik Tanah iaitu Tetuan DC Restructuring Solution PLT pada 04 Januari 2023 telah memaklumkan bahawa permohonan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor tidak dapat dikemukakan disebabkan Pelikuidasi yang dilantik telah meninggal dunia.
    11. Kini di dalam proses untuk melantik Pelikuidasi yang baharu yang mana perlu melalui proses-proses tertentu dan mengambil sedikit masa untuk perlantikan tersebut.
    12. Pihak Pelikuidasi memaklumkan akan mengemukakan permohonan rasmi Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor setelah Pelikuidasi baharu dilantik.
    13. Satu mesyuarat telah diadakan pada 21 Februari 2023 di Pejabat JMB USJ One Park yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat sendiri bagi mengetahui status semasa berkenaan proses pindah milik projek ini.
    14. Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, Pelikuidasi pemilik tanah yang diberikuasa iaitu Tetuan DC Restructuring Solution PLT telah meninggal dunia. Permohonan pelepasan kuota Bumiputera Negeri Selangor tidak dapat dikemukakan pada masa ini sehingga Pelikuidasi baru dilantik.
    15. Selain itu, pihak Pelikuidasi dan JMB USJ One Park dikehendaki mengemaskini/ membuat penyelarasan semula bagi jumlah unit-unit yang masih belum memprolehi kelulusan pindahmilik supaya tiada unit-unit yang tercicir/ tertinggal.
    16. Untuk makluman Yang Berhormat juga, LPHS akan memproses permohonan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor setelah permohonan rasmi diterima daripada pihak Pelikuidasi baharu dan seterusnya akan membantu untuk membawa permohonan rayuan pengecualian denda/ penalti tersebut ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan seterusnya para pembeli dapat memperoleh hak milik mereka kelak.
  2. Adakah mekanisme bagi mengelakkan isu ini berulang sudah dilaksanakan di peringkat agensi?

    Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) masih mengekalkan mekanisma sedia ada yang mana penentuan peratusan kuota Bumiputera adalah berpandukan kepada ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan. Ianya akan disyaratkan/ dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberimilikan tanah. Kelulusan tersebut diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah/Tanah atau Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS).

    Pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota Bumiputera tersebut dipatuhi semasa proses penjualan hartanah. PTGS akan membuat pemantauan semasa peringkat permohonan kelulusan ‘blanket consent’ / ‘blanket approval’ oleh pihak pemaju.

    Sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit bukan Bumiputera maka proses ‘blanket consent’ / ‘blanket approval’ tidak dapat diteruskan/ dibuat.

    Pemaju juga akan dikenakan denda yang lebih berat seperti kesemua ahli lembaga pengarah akan disenaraihitamkan dan pemaju tidak akan dibenarkan membuat sebarang pembangunan di negeri Selangor.

    Bagi langkah ke hadapan serta menyedari akan masalah yang dihadapi oleh pembeli- pembeli tersebut, Kerajaan Negeri akan mengkaji satu mekanisma bagaimana hendak mengawal pemaju- pemaju ini dari terus melanggar penjualan kuota Bumiputera ini.

    Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan membuat sesi libat urus bersama- sama dengan jabatan- jabatan berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Kamar Penasihat Undang- undang Negeri serta Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) untuk sama- sama berbincang kaedah yang terbaik untuk mengatasi masalah ini kelak.

Lampiran

Tiada Lampiran.