Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
59) ISU PENCEMARAN SUNGAI CHANDONG PULAU INDAH, SUNGAI TENGKORAK TELOK GONG DAN SUNGAI UDANG TELOK GONG
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mencegah kejadian pencemaran sungai yang seringkali berlaku dan berulang di Sungai Chandong Pulau Indah, Sungai Tengkorak dan Sungai Udang Telok Gong?
Pemantauan berkala telah dilaksanakan bagi mengenalpasti punca pencemaran di ketiga-tiga sungai ini termasuk daripada aktiviti perindustrian yang terletak di hulu sungai. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selaku urusetia Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang menjalankan pemantauan berkala bersama agensi teknikal berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di kawasan-kawasan perindustrian yang menjadi “hotspot” kepada isu pencemaran sungai. Sebarang pelanggaran dan kesalahan berkaitan pencemaran daripada aktiviti perindustrian akan diambil tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, manakala pihak LUAS juga boleh mengambil tindakan perundangan melalui Seksyen 79, Enakmen LUAS (pindaan 2020).
Selaras dengan itu bagi memastikan sumber air terpelihara, inisiatif pihak LUAS dalam memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran adalah seperti berikut:
- Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai- sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti- aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;
- Melaksanakan pemantauan menggunakan perkhidmatan dron berteknologi tinggi bagi membantu mendapatkan maklumat terperinci di lokasi pencemaran samada waktu siang atau malam; dan
- Sebagai salah satu langkah jangka masa panjang terhadap isu pencemaran adalah pengawalan pencemaran daripada punca (control at source) iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS sedang menggerakkan inisiatif dasar Polluters Pay Principle (PPP) dan Zero Discharge Policy (ZDP). Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi.
Strategi penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mencegah pemcemaran sungai-sungai tersebut adalah seperti berikut:
- Penguatkuasaan secara berkala dan bersasar terhadap premis-premis yang menghasilkan efluen perindustrian dan menjana buangan terjadual;
- Pelaksanaan operasi khas dari masa ke masa yang dikenali sebagai Ops Gempur yang melibatkan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi peringkat negeri yang lain;
- Mempertingkatkan keberadaan (visibility) anggota penguatkuasa dengan menjalankan rondaan harian dan hujung minggu ke kawasan industri Telok Gong dan Pulau Indah untuk mengesan kejadian pencemaran atau sebarang aktiviti yang mencurigakan; dan
- Mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap premis-premis yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 meliputi tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK), Notis Arahan, kompaun dan tindakan mahkamah.
Selain daripada itu, dalam konteks kawalan dari aspek perancangan pula, Kerajaan Negeri melalui MPK telah meluluskan Kajian Pelan Induk Infrastruktur dan Kemudahan Masyarakat Telok Gong sebagai dokumen rujukan kepada MPK dan semua agensi dalam memproses pelan-pelan pemajuan dan membuat penambahbaikan fizikal di kawasan Telok Gong bermula pada 1 September 2021. Antara syor teknikal yang digariskan dalam Kajian Pelan Induk tersebut adalah
bersetuju hanya industri ringan dan sederhana sahaja dibenarkan atau mana-mana kategori industri yang dibenarkan dengan merujuk Rancangan Tempatan MPK 2035 dengan sokongan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor. Selain itu, tiada industri berat yang baru dibenarkan beroperasi di kawasan Telok Gong mulai 1 September 2021. Tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam hal ini dikira amat bertepatan dan tepat pada masanya kerana ia dapat membantu mengekang masalah pencemaran sungai yang disebabkan oleh aktiviti perindustrian di kawasan Telok Gong, khususnya.
-
Apakah kesan daripada pencemaran tersebut terhadap sistem ekologi dan alam sekitar di sungai tersebut?
Satu kajian yang khusus adalah diperlukan untuk menentupasti secara kuantitatif dan kualitatif apakah kesan atau impak pencemaran sungai terhadap sistem ekologi di Sungai Chandong, Sungai Tengkorak dan Sungai Udang, Telok Gong. Ini termasuk maklumat mengenai inventori punca-punca pencemaran, status kualiti air sungai, data-data hidupan akuatik dan marin, keupayaan tampungan (carrying capacity) sungai dan sebagainya. Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan kajian awal penyiasatan (investigative study) di Telok Gong pada tahun lalu di mana dapatan daripada kajian tersebut boleh membantu pihak Kerajaan Negeri untuk meneruskan kesinambungan kajian sungai yang lebih komprehensif dan mencadangkan pelan tindakan mitigasi serta pemuliharaan sungai secara jangkamasa pendek, sederhana dan panjang.
MAKLUMAT TAMBAHAN
- Jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan bagi pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi pencemaran sumber air:
- Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
- Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
- Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Alam Sekitar
Hasil siasatan JAS ke atas aduan pencemaran air Sungai Chandong berwarna merah
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah berjaya menahan lori tangki yang disyaki membuang sisa cat dan pigmen berwarna merah yang menyebabkan Sungai Chandong berwarna merah pada kejadian 13 Jun dan 29 Jun 2022 . Hasil intipan yang dijalankan berjaya menemui lori tangki tersebut yang ditempatkan dalam sebuah premis di Pelabuhan Klang yang juga dijadikan pusat pengumpulan buangan terjadual tanpa kelulusan JAS. Semasa serbuan pada 5 Julai 2022 yang turut disertai anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), sebanyak 100 tong Intermediate Bulk Container (IBC) berisi pelbagai buangan seperti buangan cat, buangan dakwat, asid terpakai dan minyak hitam terpakai telah ditemukan. Selain itu, pihak JAS menemui kesan-kesan buangan pigmen berwarna merah pada penutup bahagian atas lori tangki. Beberapa sampel buangan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis kimia komposisi buangan. Siasatan atas kesalahan di bawah Seksyen 34B, 34A, Seksyen 18 dan Sekysen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 kini tertumpu kepada pemilik premis dan pengendali haram yang terlibat. Untuk rekod, semenjak kejadian pada 29 Jun 2022, sebanyak 14 buah premis sekitar Klang dan Shah Alam telah digempur pegawai JAS namun tidak menemui kegiatan yang mencurigakan.