Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

1) ISU PEMINDAHAN TANAH SECARA TIDAK SAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil untuk menangani isu pemindahan tanah secara tidak sah yang melibatkan kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Klang?

    Pentadbir Tanah Klang telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan dalaman bagi menangani isu pemindahan tanah secara tidak sah yang melibatkan kakitangan di Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

    Hasil siasatan tersebut telah dilaporkan kepada pihak Polis dan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pihak Polis bagi melengkapkan siasatan. Kakitangan yang terlibat telah ditahan reman.

    Selain itu, Kaveat Pendaftar juga telah dimasukkan ke dalam hak milik tanah yang sedang dalam siasatan bagi mengelakkan sebarang urusniaga baharu dilakukan. Langkah-langkah kawalan dan peningkatan sedang berjalan untuk mengelakkan sebarang pengulangan insiden ini.

  2. Apakah tindakan yang akan dilaksanakan ke atas semua agensi Kerajaan Negeri bagi memastikan integriti kakitangan awam berada ditahap tertinggi?

    Antara tindakan lain yang telah diambil adalah Pengemaskinian Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP). Ini adalah pelan yang digunakan di peringkat Kerajaan Negeri dan telah dipanjangkan kepada peringkat daerah supaya dikuatkuasakan di Pejabat-pejabat Daerah.

    Fungsi Jawatankuasa Pengelola telah turut diperkasakan dengan menetapkan bahawa semua Ketua Jabatan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri memberikan komitmen tertinggi dalam pematuhan tatakelola dan garis panduan arahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri No.1/2023.

    Lawatan mengejut turut sedang berjalan di semua jabatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan terus berkesan dan tidak menyalahi mana-mana peraturan ataupun arahan yang sedang berkuatkuasa.

    Tambahan kepada itu, latihan dan bengkel sedang digerakkan berkaitan 6 fungsi teras integriti melibatkan ketua-ketua unit integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta taklimat, ceramah, dan bengkel integriti di jabatan-jabatan.

    Bagi pegawai lantikan Persekutuan, tatacara penahanan kerja dan penggantungan kerja adalah di bawah Peraturan 43, 44, dan 45 Peraturan- peraturan Pegawai Am Kelakuan Tatatertib 1993.

    Bagi pegawai lantikan Negeri Selangor pula, ianya tertakluk kepada Peraturan 44 dan 45 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sealngor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995.

    Manakala bagi pegawai lantikan Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor, tatacara penahanan kerja dan penggantungan kerja adalah di bawah Peraturan 53, 54, dan 55, Kaedah-kaedah Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (Kelakuan dan Tatatertib) 2022.

    Kerajaan Negeri akan mengambil langkah mitigasi bagi insiden yang telahpun berlaku serta langkah proaktif dengan melibatkan tindakan disiplin, kerjasama program bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, program penekanan dan peningkatan kesedaran integriti.

    Jabatan Perkhidmatan Awam juga akan melaksanakan pusingan kerja (rotation) dengan lebih teliti dan kerap supaya mana-mana pegawai tidak berada di dalam satu jabatan ataupun unit untuk tempoh yang lama yang mungkin memberi ruang kepada penyalahgunaan ini untuk berlaku.

    Bagi mengukuhkan sistem pengurusan tanah yang sedang diguna pakai iaitu e-Tanah, kawalan keselamatan fizikal menerusi kamera litar tertutup, peranti biometrik, serta dinding kaca di dalam pusat data sedang dijalankan dengan lebih menyeluruh.

    Buat masa ini, kakitangan tersebut sedang menunggu siasatan penuh daripada pihak PDRM serta SPRM melibatkan dokumen-dokumen serta pihak di luar Pejabat Tanah terbabit yang mungkin terlibat.

    Dalam Jawatankuasa Tanah yang telahpun saya pengerusikan baru-baru ini, saya telah mengarahkan supaya semua Pejabat Daerah dan Tanah, bukan sahaja yang terkait dengan insiden kesalahan ini, tetapi semua PDT harus menjalankan audit dan langkah proaktif supaya tidak berlaku insiden penyalahgunaan yang mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan pemunya tanah selain daripada tercalar integriti PDT serta pengurusan tanah di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.