Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

42) ISU PEMBERIMILIKAN TANAH FELCRA MUKIM SERENDAH, HULU SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan kronologi pemberimilikan tanah seluas 172 ekar yang asalnya FELCRA di Lot 1941 Mukim Serendah, Hulu Selangor sehingga kini

    Berikut adalah kronologi pemberimilikan tanah seluas 172 ekar yang asalnya FELCRA di Lot 1941 (dahulunya PT 653), Mukim Serendah Hulu Selangor.

    TAHUN CATATAN
    1976 Pejabat Daerah Tanah Hulu Selangor (PDTHS) telah menerima Permohonan Lesen Pendudukan Sementara daripada 93 pemohon ke atas tanah PT 653 seluas 186 ekar di Mukim Serendah. Pemohon tersebut terdiri daripada peneroka dan anak peneroka Felda Sungai Buaya. Tanah yang dipohon merupakan tanah simpanan Felda Sungai Buaya yang masih belum dirancangkan lagi walaubagaimana pun ianya masih di dalam status tanah kerajaan.
    23.8.1985 PDTHS telah mengeluarkan surat Kelulusan TOL bagi tanah PT 653, Mukim Serendah  kepada 93 orang pemohon tersebut. Kelulusan TOL tersebut telah yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah bil 5/85.
    13.10.1986 PDTHS telah menerima surat permohonan membenarkan pihak FELCRA untuk mengusahakan tanah lot PT 653 daripada Ahli Jawatankuasa Rancangan Tanah Berkelompok Felda Sungai Buaya. Berdasarkan surat permohonan tersebut, telah dinyatakan pihak AJK Rancangan Tanah Berkelompok telah mengadakan satu majlis dialog bersama pihak FELCRA pada 26 September 1986 dan hasil perbincangan pihak FELCRA telah bersetuju untuk mengusahakan tanah tersebut dengan syarat mendapat kebenaran daripada pihak Pentadbir Tanah Hulu Selangor pada ketika itu.
    21 .10 .1986 PDTHS telah mengemukakan surat kebenaran kepada pihak AJK RTB  untuk pihak FELCRA memajukan Ranjangan Berkelompok ke atas tanah PT 653, Mukim Serendah seluas 186 ekar.
    15. 10.1995 93 pemilik TOL telah menandatangani Memorandum Persefahaman dan Surat Wakil Kuasa dengan pihak Mahligai Mega Sentosa Sdn Bhd. Merujuk kepada MOU tersebut merupakan cadangan Pembangunan Campuran. Setiap pemilik TOL telah dijanjikan untuk menerima pampasan sejumlah RM95,580.00 seekar berserta balasan kerjasama yang akan dibayar mengikut Jadual Pembayaran yang dipersetujui.
    30.12.1995 Pihak Mahligai Mega Sentosa telah mengemukakan Permohonan Pemberimilikan Tanah melalui Borang Jadual 1 ke atas tanah PT 653 seluas 186 ekar.
    26. 2.1997 Tanah ini diluluskan kepada Mahligai Mega Sentosa Sdn Bhd melalui Kertas MMKN 42/5/97 bagi tujuan Pertanian.
    19. 8.1997 Pihak FELCRA telah menghantar surat kepada PDTHS untuk memohon penangguhan pemberimilikan kepada pemohon kerana FELCRA ingin memastikan segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh FELCRA untuk memajukan tanah ini dibayar semula terlebih dahulu.
    13. 1.1998 Pihak FELCRA melalui surat yang diterima telah memaklumkan kepada PDTHS bahawa pihak Mahligai Mega Sentosa Sdn Bhd gagal membayar kos yang dikeluarkan oleh pihak FELCRA untuk mengusahakan tanah tersebut dengan tanaman kelapa sawit berjumlah RM1.5 juta.
    25.4.1998 Pihak Mahligai Mega Sentosa Sdn Bhd membayar premium bagi Lot 653 iaitu sejumlah RM29,945.00.
    12.10.1998 Geran hakmilik sementara Pejabat Pendaftaran di atas nama Tetuan Mahligai Mega Sentosa Sdn Bhd telah dikeluarkan.
    30.7.2008 Hakmilik Tetap  telah dikeluarkan ke atas tanah tersebut.
    2012 Hasil semakan mendapati tanah tersebut telah ditukar milik kepada Nobleman Builder (M) Sdn Bhd.
    2014 Hasil semakan mendapati tanah tersebut telah ditukar milik kepada MDCon (Simpang Empat) Sdn Bhd. Maklumat cukai tanah mendapati tiada sebarang tunggakan cukai tanah ke atas tanah tersebut.
  2. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri yang boleh ambil memandangkan 93 peserta FELCRA yang berusaha di Lot 1941 Mukim Serendah, Hulu Selangor dari tahun 1988 hingga 1995 belum mendapat bayaran penuh mengikut satu persetujuan yang dikehendaki oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Kertas Bil 5/97)?

    Merujuk kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Kertas 5/97) telah menyatakan bahawa pejabat ini dikehendaki memastikan bahawa satu persetujuan muktamad dibuat diantara peserta dengan pihak FELCRA mengenai apa-apa jua modal atau bantuan yang diberikan kepada peserta, walaubagaimanapun hasil semakan pentadbiran ini mendapati bahawa pihak FELCRA telah mengeluarkan kos sejumlah RM1.5 juta bagi mengusahakan tanah tersebut bagi pihak 93 peneroka hasil daripada keputusan di majlis dialog pada 26 September 1986. Oleh yang demikian tidak timbul isu pembayaran kepada peserta oleh FELCRA.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.