Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

348) ISU PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan fakir miskin (penerima JKM atau Zakat) ke kategori golongan B40?

    Untuk makluman Yang Berhormat Batang Kali, Kerajaan Negeri sentiasa memberi tumpuan kepada usaha menurunkan kadar kemiskinan di Selangor dengan membantu keluarga miskin tegar ini untuk keluar dari kelompok miskin tegar ke kategori B40. Usaha ini adalah antara tugas utama Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor yang dijalankan secara berterusan selaras dengan halatuju Rancangan Selangor Pertama (RS1).

    Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan salah satu usaha berterusan malah menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan. ISP merupakan program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat disamping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan banyak lagi. Program-progam ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus dapat membantu membawa golongan miskin tegar ini ke kategori B40.

    Program-program khusus bagi usaha pembasmian kemiskinan Negeri Selangor adalah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Bantuan Usahawan India Selangor (I-Seed), Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan Program Jom Shopping Perayaan. Bagi tahun 2023, seramai 79,436 orang penerima manfaat dari keempat-empat buah program ini secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan secara amnya.

  2. Apakah rancangan dan pelaksanaan yang telah dibentuk oleh kerajaan untuk membantu golongan ini dalam jangka masa pendek dan panjang?

    Justeru, pada tahun 2025 Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan bercadang untuk menggunakan mekanisme yang lebih efektif untuk membasmi kemiskinan secara bersasar pada peringkat akar umbi dengan memperkasa Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti penjanaan pendapatan, pembangunan kapasiti dan kapabiliti serta minda yang sesuai dengan memberi fokus kepada golongan miskin di dalam kategori umur produktif iaitu antara 15 hingga 60 tahun.

    Selain dari itu dibawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia melalui penganjuran Program Karnival Jelajah Jobcare dan Karnival Jobcare Istimewa juga merupakan program-program lain yang dilaksanakan dalam usaha membantu semua rakyat di negeri Selangor termasuk golongan fakir miskin untuk meningkatkan taraf hidup. Program berkonsepkan pameran kerjaya dan temuduga terbuka di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia ini diadakan bagi menyediakan ruang dan peluang kerjaya kepada semua golongan pencari kerja termasuk golongan fakir miskin.

    Melalui program ini, para pencari kerja berpeluang untuk menerokai potensi diri dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan yang dipilih dalam kawasan komuniti daerah berkenaan. Secara tidak langsung, program ini dapat membantu masyarakat setempat memajukan diri, menjana sumber pendapatan dan meningkatkan produktiviti. Justeru itu, golongan fakir miskin adalah tidak terkecuali malah dialu-alukan untuk memanfaatkan program ini bagi mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.

    Bagi membantu rakyat termasuk golongan fakir miskin memajukan diri, Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai kursus atau latihan bagi meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) atau mempelajari kemahiran baharu (reskilling). Pelbagai program latihan atau kursus disediakan oleh Institut Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri seperti Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) (dahulu dikenali sebagai INPENS International College) dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC).

    Beberapa siri kursus atau latihan pembangunan kerjaya turut diadakan di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bagi memacu pertumbuhan ekonomi rakyat. Program yang menyediakan latihan kemahiran jangka pendek ini boleh dimanfaatkan oleh golongan B40 dan fakir miskin untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau memulakan perniagaan selepas tamat kursus.