Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
203) ISU PELAJAR SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) YANG GAGAL
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah pelajar SPM yang tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya mengikut daerah di Selangor?
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan tindakan yang dilaksanakan tentang isu murid lepasan SPM yang tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif mengumpulkan maklumat Pengesanan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui Sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM). Dapatan data terkini yang dilaporkan oleh lepasan SPM atau guru bimbingan dan kaunseling dalam sistem ePKM tersebut menunjukkan seramai 16 475 orang murid calon SPM 2023 tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pecahan bilangan murid mengikut daerah adalah seperti berikut:-
BIL PPD BILANGAN MURID 1 GOMBAK 2245 2 HULU LANGAT 3342 3 HULU SELANGOR 788 4 KLANG 3341 5 KUALA LANGAT 1185 6 KUALA SELANGOR 1090 7 PETALING PERDANA 2446 8 PETALING UTAMA 953 9 SABAK BERNAM 433 10 SEPANG 652 Sumber: Sistem eProfil Kerjaya Murid Kementerian Pendidikan Malaysia
-
Apakah inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan pelajar SPM yang mendapat keputusan yang kurang baik dapat melanjutkan pengajian mereka?
JPN Selangor sentiasa komited menggalakkan dan meningkatkan motivasi murid untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Antara program-program yang telah diadakan ialah:-
- Program Pendidikan Kerjaya Vokasional dan Teknikal (TVET)
JPN Selangor sangat menyokong perkembangan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) untuk murid yang kurang berjaya dalam akademik tetapi mempunyai minat atau kemahiran dalam bidang tertentu. TVET menyediakan pelbagai kursus dalam bidang seperti kejuruteraan, automotif, elektrik, perhotelan, dan kemahiran lain. Murid boleh melanjutkan pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM), Politeknik, dan kolej komuniti untuk mendapatkan sijil, diploma, atau ijazah dalam bidang kemahiran. Pelaksanaan program TVET bertujuan memberi panduan dan sokongan kepada murid dalam memilih laluan pendidikan dan kerjaya yang sesuai. Sebanyak 279 buah sekolah terlibat yang membabitkan 362,693 murid sekolah menengah (menengah atas) mendapat manfaat daripada program yang diadakan pihak sekolah dengan kerjasama universiti, kolej dan pusat latihan kemahiran.
- Karnival Pendidikan Kerjaya (SUKSES)
Karnival ini adalah salah satu platform untuk memberikan maklumat berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya, serta membantu murid mengenal pasti pilihan kerjaya yang boleh diambil berdasarkan minat dan kemahiran mereka. Pada tahun 2024, ia dilaksanakan pada 6 hingga 8 Ogos 2024 di Politeknik Shah Alam melibatkan 10,000 orang murid tingkatan 5 sekolah-sekolah negeri Selangor. 50 buah universiti awam dan swasta terlibat sebagai pempamer.
- Outreach Pendidikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Setiap Daerah
Aktiviti outreach ini dijalankan di setiap daerah melibatkan 10,000 orang murid bagi 10 siri mewakili daerah negeri Selangor. ia diadakan bagi memastikan murid di seluruh Selangor mendapat akses kepada maklumat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) adalah satu lagi alternatif bagi murid yang gagal SPM untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran. SKM membolehkan murid melibatkan diri dalam industri seperti perkhidmatan, perkilangan, dan teknologi. Penglibatan dengan Pusat Latihan Kemahiran yang diiktiraf untuk memberi latihan yang berkualiti dan memenuhi keperluan industri. Murid yang mengambil kursus SKM berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang baik dan stabil selepas tamat latihan.
- Kerjasama dengan IPTA dan IPTS
JPN Selangor bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) serta pihak industri untuk memberikan lebih banyak pilihan dan peluang kepada murid dalam memilih institut pendidikan yang sesuai dengan matlamat kerjaya mereka. Antara IPTS yang telah menyediakan peluang bagi murid lepasan SPM melanjutkan pendidikan seperti MAHSA Universiti, Sunway TEST, SEGI College dan University. Sepanjang 2024, JPN Selangor mengadakan 15 siri kolaboratif pelbagai program dengan pusat latihan kemahiran awam dan swasta seperti IKBN, IKM, GIATMARA, Politeknik, STDC, ILP, Autoprima, Rich Talent, TOC dan Bermaz Auto.Sebanyak 2000 orang murid mendapat manfaat daripada program kolaboratif yang dijalankan. Melalui kerjasama bersama pusat latihan kemahiran seperti Berjaya TVET College & STDC memberi peluang kepada murid melanjutkan pendidikan dalam bidang kemahiran walaupun gagal SPM atau tidak menduduki SPM.
JPN Selangor mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi membantu menyediakan laluan kebolehpasaran murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) melalui Program Independent Living Support Centre (ILSC). Dalam penilaian akhir persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Micro credential sesi 2024/2025, seramai 206 calon calon SKM Micro credential telah lulus terampil dengan 67 orang daripadanya mendapat nilai gred 4.00. MBPK berkefungsian sederhana yang telah mengambil SKM Micro credential berpeluang membuat pilihan untuk menyambung pengajian di kolej komuniti dan latihan kemahiran di pusat latihan kemahiran awam dan swasta. Manakala MBPK berkefungsian rendah di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah-sekolah menengah negeri Selangor yang telah tamat sesi persekolahan boleh menyertai program yang dijalankan ILSC mengikut kesesuaian dan keupayaan murid-murid tersebut.
Jerayawara Karnival TVET Madani di Daerah Seluruh Selangor dan Bootcamp TVET Madani
JPN Selangor bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor(STDC) telah mengadakan Jerayawara Karnival TVET Madani di Daerah Kuala Selangor pada 24 September 2024. Jerayawara Karnival TVET Madani tahun 2025 dirancang akan dilaksanakan di Daerah Gombak pada Mei 2025. Jerayawara Karnival TVET bertujuan memberi pendedahan kepada murid dan ibu bapa berkenaan peluang menceburi bidang kemahiran yang ditawarkan di STDC dan pusat-pusat latihan kemahiran lain di seluruh Selangor. Murid dan ibu bapa didedahkan dengan peluang menceburi pendidikan bidang kemahiran seawal umur 16 tahun. Pihak STDC membuka peluang kemasukan sebanyak empat kali dalam satu tahun. Manakala Bootcamp TVET Madani siri 1 telah diadakan pada 22 hingga 24 November 2024. Siri 1 melibatkan empat daerah iaitu Daerah Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Langat. Setiap daerah melibatkan 50 orang murid Tingkatan 5. Bootcamp TVET Madani Siri 2 dirancang akan dilaksanakan pada Oktober 2025 bagi empat daerah lain. Selain program motivasi menghadapi SPM murid didedahkan dengan pelbagai program kemahiran terutama yang ditawarkan di STDC. Murid diberi peluang mengikuti amali secara berkumpulan. Setiap kumpulan akan berpeluang secara bergilir melakukan amali semua bidang kemahiran yang ditawarkan. Murid juga didedahkan dengan peluang-peluang kerjaya di industri selepas tamat menjalani latihan kemahiran. Murid yang dipilih adalah dari golongan murid tidak cemerlang akademik supaya mereka boleh menceburi latihan kemahiran walaupun gagal atau tidak cemerlang dalam pencapaian SPM. Mereka juga diharapkan akan menghebahkan peluang tersebut kepada rakan-rakan dan adik-adik di sekolah masing-masing. Memandangkan permintaan kemasukan dan minat yang terlalu tinggi untuk ke Kolej Vokasional seluruh Selangor, diharapkan permohonan murid yang gagal ke Kolej Vokasional boleh di salur ke STDC atau pusat-pusat latihan kemahiran lain di seluruh Selangor.