Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

22) ISU PATI DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan berapa bilangan PATI terkini di negeri Selangor dengan mengikut daerah.

    Berdasarkan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terdapat seramai 574,495 orang Pekerja Asing pemegang Pas Lawatan kerja Sementara – PLKS yang aktif setakat bulan Disember 2024 bagi Negeri Selangor.

     

    Sepanjang Januari hingga Disember tahun 2024 seramai 15,455 warga asing telah diperiksa dan seramai 5,269 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditangkap atas kesalahan-kesalahan di bawah :-

     

    1. Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tiada dokumen yang sah);
    2. Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal lebih masa) ; dan
    3. Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (salah guna pas).

     

    JIM Negeri Selangor sentiasa komited dan mengambil langkah proaktif berhubung isu PATI di Negeri Selangor.

  2. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk membanteras kegiatan PATI di negeri Selangor?

    Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian serius berhubung isu kebanjiran warga asing terutamanya Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di seluruh Negeri Selangor. Di peringkat JIM Negeri Selangor, tindakan penguatkuasaan yang berterusan sentiasa dilaksanakan berdasarkan kepada aduan-aduan awam yang telah diterima bagi menangani isu kebanjiran warga asing tersebut.

    JIM Negeri Selangor sentiasa melaksanakan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu PATI. Contohnya, pada 5 Oktober 2024 satu Operasi Secara Bersepadu JIM Negeri Selangor bersama pelbagai agensi telah diadakan di Seksyen 27, Taman Sri Muda, Shah Alam.

    Dalam operasi sebegini, Imigresen akan menguatkuasakan undang-undang berdasarkan kepada Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang berkaitan bagi menangani isu PATI. Manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa dari segi kelulusan/kebenaran menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.

    JIM Negeri Selangor mengingatkan kepada orang awam bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melindungi PATI dan mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan PATI.

Lampiran

Tiada Lampiran.