Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

159) ISU MASALAH HIDUPAN LIAR YANG MENIMBULKAN KACAU GANGGU

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah monyet yang semakin bertambah sehingga mewujudkan kacau ganggu di kawasan taman perumahan dan kawasan pertanian di dalam kawasan DUN Pelabuhan Klang?

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan PERHILITAN Selangor sentiasa berusaha mengawal populasi kera dan mengatasi aduan kacau ganggu hiupan liar berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan seperti berikut:

    1. Bagi kawalan spesies konflik kera dan beruk, tindakan (culling) digunakan dalam kawalan populasi konflik. Pelupusan populasi konflik dilaksanakan secara terancang melalui pemasangan perangkap, operasi terjadual, operasi bersepadu basmi musuh tanaman bersama penduduk setempat dan stakeholder yang terlibat.
    2. Menjalankan kajian anggaran populasi dan taburan bagi menentukan pengkelasan tahap/zon keseriusan konflik bagi penyelarasan tindakan Jabatan.
    3. Melaksanakan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan kesedaran orang awam dan Pihak Berkuasa Tempatan tentang kepentingan habitat yang sesuai serta langkah pencegahan kacau ganggu kera dan beruk.
  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memelihara habitat semula jadi monyet-monyet tersebut?

    Habitat semula jadi bagi hidupan liar seperti monyet dan lain-lain adalah di kawasan hutan. Secara umumnya, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk memelihara kawasan hutan di negeri Selangor khususnya hutan simpanan kekal (HSK). Di antara usaha-usaha yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-

    1. Melaksanakan penanaman pokok di kawasan-kawasan hutan terosot, persisiran pantai dan lain-lain lagi selaras dengan Program Penghijauan Malaysia dan Program Penanaman 26 Juta Pokok Negeri Selangor;
    2. Menyokong pelaksanaan Program Central Forest Spine (CFS) bagi memelihara fungsi rangkaian koridor ekologi hutan sebagai lintasan hidupan liar seperti tapir, beruang, monyet dan sebagainya;dan
    3. Meningkatkan keluasan hutan simpanan kekal melalui pewartaan kawasan-kawasan hutan tanah kerajaan dan tanah rizab yang berpotensi.

Lampiran

Tiada Lampiran.