Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
214) ISU LEMBU DUN SUNGAI RAMAL
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan terkini dilakukan oleh vaterinar dalam kes lembu berkeliaran Sungai Ramal Luar?
Tindakan terkini yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) adalah seperti berikut:
TARIKH PENERANGAN 25 Jun 2024 Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor ( DVS Selangor) telah mengeluarkan satu Notis Penambahbaikan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 ke atas pemunya haiwan ternakan kerana gagal menyediakan persekitaran yang sesuai untuk haiwan ternakan miliknya seperti kandang yang boleh menghalang haiwan ternakan keluar ke kawasan yang berisiko kepada haiwan. Notis penambahbaikan tersebut diberi kepada pemunya haiwan ternakan untuk dipatuhi dalam tempoh 2 minggu dari notis disampaikan. 12 Julai 2024 DVS Selangor telah membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan notis penambahbaikan tersebut sama ada dipatuhi atau sebaliknya. Hasil pemeriksaan mendapati, pemunya haiwan ternakan telah mematuhi notis penambahbaikan tersebut dengan memasang pagar elektrik di sekeliling premis kandang. Walaubagaimanapun, pemantauan dari semasa ke semasa akan dijalankan oleh DVS Selangor ke atas mana – mana ladang haiwan ternakan yang gagal menyediakan keperluan persekitaran yang sesuai untuk haiwan -
Sudah berulangkali masalah ini berulang, apakah tuan kandang masih tidak diarahkan keluar daripada lokasi berkenaan?
DVS Selangor tidak mempunyai sebarang kuasa menurut undang – undang yang dikuatkuasakan untuk mengarahkan atau memerintahkan pemilik kandang atau premis haiwan ternakan keluar daripada lokasi berkenaan. Walaubagaiamanapun, DVS Selangor menerusi Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 akan menggubal suatu undang-undang subsidari di bawah Enakmen tersebut, iaitu Kaedah Pelesenan Lembu Kerbau. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor baru sahaja bersetuju untuk meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 [Enakmen No 3 Tahun 1971] bagi mengatasi masalah lembu dan kerbau yang berkeliaran. Antara elemen penting dalam undang-undang subsidiari yang akan digubal adalah:
- Peranan yang jelas di kalangan jabatan/agensi yang berkaitan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dan Polis Diraja Malaysia yang disebut dalam enakmen ibu.
- Pendaftaran dan pelesenan pemilik-pemilik lembu kerbau;
- Pemasangan tanda pengenalan ke atas semua ternakan supaya mudah mengenalpasti pemiliknya;
- Jenis dan kadar penalti yang jelas dan munasabah bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
Namun, Kerajaan Negeri sedar proses meminda ini akan mengambil masa lama. Maka itu, tindakan jangka pendek bakal dilaksanakan iaitu operasi bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan jabatan/agensi lain yang berkaitan.
-
Apakah vaterinar Selangor pernah menerima laporan laporan polis atau SPRM bagi kes berkaitan?
DVS Selangor tidak pernah menerima sebarang laporan polis atau SPRM bagi kes berkaitan.