Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

117) ISU LADANG BABI

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Cadangan Kerajaan Selangor mewujudkan ladang babi secara terancang di Sepang mendapat tentangan rakyat. Mengapakah lokasi berkenaan menjadi pilihan?

    Sejak tahun 2005, Kerajaan Negeri telah menjalankan kajian bagi mendapatkan satu lokasi yang sesuai untuk projek berkenaan. Kesemua lokasi yang telah dikenal pasti tersebut tidak sesuai kerana melibatkan kawasan sensitif alam sekitar. Akhirnya, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengadakan projek ternakan babi moden di Ladang Tumbuk kerana ia merupakan kawasan ternakan babi sedia ada yang telah teruk tercemar dan bukan kawasan pengambilan air untuk minuman penduduk Selangor.

  2. Bagaimanakah kaedah yang akan dijalankan secara terancang itu?

    Pembangunan ladang babi moden ini akan menggunakan teknologi ternakan ladang tertutup dari Rusia dan sistem biogas dari Jerman. Najis babi dari kandang tertutup tersebut akan disalir dan diperam di dalam loji biogas selama 28 hari yang bertujuan untuk mendapatkan gas Methane (CH4) – (50-75%), Karbon Dioksida (C02) – (25-45%) dan Hidrogen Sulfid (H2S) – (1-5%). Gas-gas tersebut akan disimpan untuk menjana tenaga elektrik dan sistem penyaman udara di dalam kandang tertutup manakala air basuhan kandang akan dikitarkan semula.

  3. Sejauh manakah kaedah terancang dapat menjamin keselamatan alam sekitar?

    Kerajaan Negeri telah melantik dua (2) profesor daripada Universiti Petronas bagi membantu dan menasihati Kerajaan Negeri berhubung projek tersebut supaya pelaksanaannya tidak mencemarkan alam sekitar di kemudian hari. Di samping itu, pelaksanaannya juga akan melibatkan Jabatan Teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan semua peraturan alam sekitar dipatuhi.

Lampiran

Tiada Lampiran.