Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

411) ISU KESELAMATAN DAN WARGA ASING

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani isu lambakan pekerja warga asing yang semakin menguasai ekonomi di Selangor khususnya warga Cina, Bangladesh dan Pakistan?

    Pengambilan warga asing bagi sektor-sektor seperti sektor perindustrian, binaan atau sektor lain adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia. Pembekuan pengambilan warga asing hanya boleh diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan. Selain itu, Jabatan Imigresen juga perlu diperkukuhkan dengan menambah anggota Imigresen bagi mengawal warga asing khususnya di Negeri Selangor.

     

    Bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tindakan yang boleh diambil untuk menangani isu ini adalah dari segi melaksanakan pemantauan terhadap premis-premis perniagaan, menutup premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan serta menyita barangan penjaja warga asing bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan yang dijalankan secara tidak sah oleh warga asing.

  2. Apakah peranan Anggota polis, Imigresen dan PBT dalam menangani isu lambakan warga asing agar selari dengan (RS-1)?

    Peranan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan PBT dalam menangani isu lambakan warga asing adalah seperti berikut:

    PDRM

     1) PDRM Kontinjen Selangor sentiasa komited dalam menangani isu warga asing dan membanteras kemasukan warga asing secara haram. Operasi ke atas Pendatang Asing tanpa Izin (PATI) sentiasa dilaksanakan sama ada melalui pasukan PDRM atau pun bersama agensi sahabat seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Maritim, TLDM  dan lain-lain agensi berkaitan.

    2) Penugasan Op Taring Nyah & Op Benteng  juga telah dijalankan di kawasan pesisiran pantai Selangor oleh Pasukan Gerakan Am. Sebanyak 20 Pos Kawalan telah didirikan bagi kelancaran penugasan ini. Di samping pemantauan pencegahan di darat, Pasukan Marin juga turut menjalankan penugasan kawalan di pesisir pantai bagi mengawal kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.

    3) Melancarkan operasi – operasi bersepadu antara PDRM dan agensi-agensi lain samada di pintu sempadan laut / darat mahupun penempatan-penempatan PATI di kawasan Bandar dan luar Bandar;

    4) Sepanjang tempoh 2023, seramai 6,925 tangkapan melibatkan pendatang warga asing telah ditangkap atas pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat-syarat peraturan imigresen.

    5) Bagi tindakan / langkah-langkah menangani kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Warga Asing adalah seperti berikut :-

    i) Penjenayah warga asing yang terlibat dalam jenayah tidak dapat dituduh di mahkamah akan dikenakan tindakan pengusiran balik ke negara asal;

    ii) Senarai Pekeliling Khas (SPK) akan dihantar ke pihak Imigresen untuk perhatian di pintu masuk / keluar Negara bagi memastikan mereka yang terlibat ini di kesan jika keluar Negara atau masuk semula ke dalam Negara

    iii) Bekerjasama dengan pihak Imigresen melalui semakan sistem biometric bagi pelancong asing di pintu masuk / keluar Negara; dan

    iv) Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan dipertingkatkan dari masa ke semasa seperti Interpol dan Jabatan Pendaftaran Negara

Lampiran

Tiada Lampiran.