Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
183) ISU KEROSAKAN PANGSAPURI SERI BEREMBANG, PELABUHAN KLANG
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri telah menyediakan cadangan pembaikan atau pembangunan semula untuk dikemukakan kepada KPKT?
Setakat ini, tiada cadangan pembaikan atau pembangunan semula yang dikemukakan kepada KPKT memandangkan pihak MPK telah pun melantik perunding untuk melaksanakan kerja siasatan tanah pada bulan Oktober 2021. Pelantikan perunding ini perlu dibuat dengan kadar segera bagi memastikan faktor keselamatan di keempat-empat blok (Blok A, B, C dan D) tersebut dapat dilihat secara lebih menyeluruh.
-
Sekiranya belum, berapa lamakah tempoh masa yang diperlukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menyediakan cadangan tersebut?
MPK mengambil maklum akan cadangan mengemukakan kos pembaikan atau pembangunan semula Pangsapuri Seri Berembang kepada pihak KPKT. Untuk makluman Yang Berhormat kerja-kerja siasatan tanah oleh perunding mengambil masa 8 bulan (dijangka akan diselesaikan pada bulan Mei 2022). Setelah perkara ini selesai pihak MPK akan membentangkan laporan ini dalam Mesyuarat MTES bagi menentukan hala tuju seterusnya.
-
Apakah tindakan jangka masa pendek dan panjang yang akan diambil?
Tindakan jangka pendek yang diambil ialah dengan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memasang hoarding, memindahkan penduduk yang terjejas yang melibatkan 16 unit/pemilik petak di Blok C dan melantik perunding untuk melaksanakan kajian siasatan tanah. Manakala penyelesaian jangka panjang sekiranya bangunan itu disahkan selamat untuk diduduki maka tindakan membaiki semua kerosakan yang berlaku akan dijalankan.