Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
104) ISU KERETAKAN DI INDAHRIA – MBSA
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini isu kes keretakan di Pangsapuri Indah Ria Seksyen 22 Shah Alam?
Merujuk kepada kenyataan pengerusi Badan Pengurusan Bersama Indah Ria, JMB pada 09hb September 2015 telah memfailkan saman kepada Pemaju Shanghai Realty Sdn Bhd di Mahkamah Seksyen Shah Alam. Untuk makluman, kes tersebut masih dalam prosiding Mahkamah dan menunggu untuk pendengaran kes.
Pihak Majlis telah membuat kajian teknikal bagi mengenal pasti punca berlakunya keretakan di tempat letak kereta. Kajian dilaksanakan oleh Tetuan Ikram Perunding Geoteknikal yang dilantik oleh Majlis. Kajian telah siap sepenuhnya pada tahun 2014. Kos kajian geoteknikal berjumlah RM1,019,312.03.
-
Apakah yang menyebabkan kes ini masih belum dapat diselesaikan?
Isu keretakan tidak boleh diselesaikan oleh pihak Majlis kerana ia berlaku di dalam kawasan Pangsapuri Indah Ria iaitu kawasan pentadbiran persendirian dan ianya diselenggarakan oleh Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body / JMB) atau Perbadanan Pengurusan (Management Corporation / MC), maka Majlis tidak boleh dan tidak wajar mengeluarkan sebarang kos untuk pembaikan kerosakan di dalam kawasan pentadbiran JMB atau MC kerana ia merupakan kawasan persendirian. Kewajipan Majlis hanya untuk membaiki kerosakan di kawasan awam pentadbiran Majlis.
Pihak MBSA telah menghantar surat bertarikh 31hb Januari 2013 kepada pihak pemaju Shanghai Realty Sdn Bhd untuk mengarahkan beliau untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas kes tanah mendap di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Indah Ria dalam tempoh 2 minggu berdasarkan Laporan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor tetapi masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak pemaju. Dan pemaju telah menghantar surat bertarikh 08hb Februari 2013 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam berkenaan keengganan pihak pemaju untuk bertanggungjawab ke atas kes tersebut.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan perkara ini?
Merujuk kepada Laporan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 5/2013 yang diadakan pada 6hb Februari 2013 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 6/2013 pada 13hb Februari 2013, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai hasil laporan pemeriksaan IKRAM ke atas kawasan tanah mendap di kawasan tempat letak kereta Pangsapuri Indah Ria, Taman Impiana, Jalan Batu Tiga-Sungai Buloh, Seksyen 22 Shah Alam dan cadangan-cadangan tindakan yang disyorkan adalah seperti berikut :
- MBSA diarahkan untuk berunding dengan pemaju supaya membetulkan keadaan tanah mendap di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Indah Ria dalam tempoh 2 minggu. Kerajaan Negeri berpandangan pemaju bertanggungjawab ke atas insiden tanah mendap tersebut berdasarkan kepada siasatan dan kajian yang dibuat oleh IKRAM. Tindakan segera untuk jangka masa pendek perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian yang lebih serius ;
- Sekiranya pemaju enggan melaksanakan kerja-kerja pembaikan tersebut, MBSA akan diminta melantik kontraktor untuk melaksanakannya. Segala kos pembaikan dan pemulihan akan diserahkan kepada pemaju untuk pembayaran;
- MBSA diminta memaklumkan kepada penduduk bahawa tindakan segera akan diambil oleh pemaju untuk membaiki dan memulihkan keadaan di tapak dan menasihatkan penduduk supaya bersedia untuk bersama-sama dengan MBSA untuk mengambil tindakan perundangan ke atas pemaju bagi memastikan pemaju bertanggungjawab ke atas kesilapan dan kecuaian mereka terhadap pembangunan pangsapuri tersebut :
- Melantik IKRAM sebagai Independence Checker untuk menyemak kaedah pembaikan yang dicadangkan oleh pemaju dan memberi nasihat perunding kepada pihak Majlis Bandaraya Shah