Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
85) ISU KERETA BURUK MERATA-RATA DI KAWASAN MASING-MASING
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan untuk menyelesaikan masalah kereta buruk/ terbiar di kawasan masing-masing?
Pada masa ini, PBT Negeri Selangor mengguna pakai Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2020 – Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar di Kawasan Operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti yang telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 33/2020 bertarikh 9 September 2020 yang disahkan oleh MMKN Ke 34/2020 bertarikh 30 September 2020. Garis panduan tersebut diterima pakai namun disesuaikan dengan keperluan PBT masing-masing bagi negeri Selangor. Antara cadangan yang dinyatakan oleh PBT negeri Selangor terhadap garis panduan tersebut adalah penambahbaikan terhadap SOP yang melibatkan jabatan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta penyesuaian tempoh pengurusan kenderaan oleh agensi selain PBT yang terlibat.
-
Kebanyakan PBT menghadapi penyelesaian masalah ini kerana tempat menyimpan kereta telah penuh, apakah penyelesaian untuk PBT menyelesaikan masalah ini?
Bagi menyelesaikan masalah kereta buruk/ terbiar yang telah disita daripada penuh di tempat/depoh penyimpanan kenderaan terbiar sedia ada, tindakan yang akan dilaksanakan adalah—
- mengenal pasti tempat/ depoh baharu bagi menempatkan kereta buruk/ terbiar yang akan disita sementara proses pelupusan kereta buruk/ terbiar sedia ada dilaksanakan. Antara lokasi tempat/ depoh kenderaan buruk/ terbiar yang dikenal pasti oleh PBT adalah di bawah rezab rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB);
- selepas proses pelupusan dilaksanakan, PBT menambah baik kaedah penyusunan kereta buruk/ terbiar secara susun bertingkat bagi memberikan lebih banyak ruang penyimpanan, kemas dan teratur; dan
- menyerahkan notis pemberitahuan kepada pemilik-pemilik kenderaan, institusi kewangan dan pihak berkaitan untuk menuntut semula kenderaan yang disita berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan. Pemilik akan diberikan tempoh tujuh (7) atau 14 hari untuk mengemukakan tuntutan kepada jabatan berkaitan.