Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

103) ISU KENAIKAN HARGA BARANG

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan bagi membantu rakyat di negeri ini untuk mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan Soalan No. 147 daripada Yang Berhormat Rawang berkaitan Harga Barang Naik.

    Untuk makluman semua Yang Berhormat sekalian, terdapat beberapa faktor yang menyumbang atau menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak. Antara faktor-faktor bagi kenaikan harga barang adalah:

    i) Situasi perubahan harga yang mula dihadapi dalam negara adalah susulan daripada berlakunya kenaikan harga bahan mentah makanan secara global (dunia), kesan ini turut dirasai di dalam negara kita Malaysia, yang mana dapat dilihat berlaku pergerakan harga yang agresif (menunjukkan kenaikan) terhadap barangan dalam kumpulan makanan khususnya.

    ii) situasi pandemik COVID-19 itu sendiri turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan, mahupun makanan kerana terdapat gangguan dalam rantaian bekalan sumber.

    iii) Dalam masa sama, faktor-faktor lain yang turut yang menyumbang kepada pergerakan harga yang agresif seperti :-

     Perubahan cuaca dan bencana dalam Negara;
     Perubahan cuaca dan bencana di Negara pengeluar contohnya China yang menganggu harga sayuran diimport;
     Kadar/nilai matawang Negara dengan Negara pengeksport;
     Peningkatan harga bahan import seperti makanan ayam (soya dan jagung);
     Peningkatan kos pengeluaran dan logistik;
     Kekurangan tenaga kerja termasuk buruh asing yang menyebabkan berlaku gangguan dalam pengeluaran hasil ladang dan tani; dan
     Peningkatan harga komoditi di pasaran global (sawit); dan kadar inflasi.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba untuk menangani isu kenaikan harga dengan kaedah seperti berikut:

    i) KPDNHEP Selangor konsisten menjaga kepentingan pengguna dan hal ehwal perdagangan domestik di Selangor, sentiasa melaksanakan pendekatan berimbang untuk memastikan komuniti pengguna Selangor tidak ditindas peniaga dan dalam masa yang sama membentuk suasana ekonomi domestik yang kondusif menerusi urus niaga perniagaan yang berhemah dan bertanggungjawab. Agenda ini tidak mudah dalam situasi negara dan dunia terkesan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang menjadi antara faktor utama mempengaruhi punca berlakunya peningkatan kos bahan makanan di seluruh dunia;

    ii) Kerajaan secara berterusan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai salah satu usaha menghasilkan suasana pasaran harga yang seimbang kepada pengguna dan tidak mengabaikan peniaga menerusi inisiatif / program jualan yang beri manfaat kepada pengguna Selangor;

    iii) Penguatkuasaan kawalan harga secara bertempoh telah dilaksanakan untuk kebajikan pengguna Selangor agar tidak terlalu terbeban dengan situasi harga pasaran menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan Penentuan Harga Maksimum Ayam Dan Telur Ayam yang dikuatkuasakan sehingga 5 Jun 2022.

    iv) Penguatkuasaan kawalan harga sepanjang masa terhadap barangan kawalan seperti gula, LPG (gas memasak), pelitup muka, minyak masak paket, minyak masak botol (minyak masak tulen sahaja, bukan jenis sebatian/ campuran), kit ujian pantas covid19.

    v) Kerajaan Negeri Selangor juga giat mengadakan program/kempen seperti Program Keluarga Cakna Pengguna yang memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat berkaitan pengurusan kewangan yang efektif dalam melakukan urusan urusniaga.

    Tidak dapat disangkal, inisiatif prihatin rakyat yang dilaksanakan di Selangor ini menghasilkan impak positif dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat mendapatkan barangan asas pada harga hingga 30 peratus lebih rendah dari pasaran. Inisiatif ini akan terus dinilai keperluan pelaksanaannya dari semasa ke semasa demi melindungi komuniti pengguna dalam cabaran ini.

    Walau bagaimanapun, situasi pergerakan harga yang agresif memang akan memberi cabaran kepada kos sara hidup pengguna Selangor. Oleh yang demikian, intervensi secara bertempoh dan jangka panjang dilaksanakan oleh KPDNHEP Selangor umumnya.

    KPDNHEP Selangor juga sedang giat melaksanakan Inisiatif bagi mengurangkan kos sara hidup dan beban rakyat Selangor dengan menawarkan barang keperluan harian pada harga lebih murah daripada harga pasaran, murah sehingga 20% lebih rendah di bawah Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

    Jualan harga rendah ini perlu meliputi di setiap kawasan Parlimen Selangor iaitu sejumlah 21 kawasan Parlimen. Objektif adalah untuk memberi manfaat kepada kumpulan B40 dan tidak ketinggalan kumpulan M40 di Selangor, supaya dapat menikmati harga barangan yang berpatutan dan memberi nilai lebihan penjimatan belanja barangan keperluan harian.

    KPDNHEP Selangor kini telah menjadualkan pelaksanaan PJKM secara mingguan, berbeza sebelum ini di peringkat awal pelaksanaan ianya dirancang secara 2 bulan sekali. Walaubagaimanapun, apabila melihat kepada keperluan untuk membantu pengguna B40 dan M40 yang terkesan daripada situasi pasaran harga yang agak mencabar, maka KPDNHEP Selangor telah melaksanakan PJKM di lokasi bersasar setiap minggu.

    Untuk makluman juga, pelaksanaan PJKM di Selangor telah dijadualkan sehingga akhir Mac 2022. Walau bagaimanapun, Kementerian akan menilai semula sekiranya terdapat keperluan untuk meneruskan Program PJKM kerana ianya bergantung kepada situasi harga semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.