Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
17) ISU KEMISKINAN
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berikan secara dgn terperinci, statistik mengenai rakyat miskin di negeri Selangor?
Jumlah kemiskinan mengikut pecahan daerah bagi tahun 2010 adalah seperti berikut:-
Bil Daerah Jumlah miskin 1. Klang 2631 2. Petaling 6220 3. Hulu Langat 10,889 4. Kuala Langat 2917 5. Gombak 1672 6. Sepang 2264 7. Hulu Selangor 6690 8. Kuala Selangor 5695 9. Sabak Bernam 5275 JUMLAH KESELURUHAN 44253 Sumber: UPEN/Pejabat Daerah
Data kemiskinan adalah sangat dinamik. Banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada kemiskinan. Penghijrahan, kematian ketua keluarga, keadaan ekonomi semasa, kehilangan pekerjaan, sikap dan mentaliti individu dan pelbagai faktor lain boleh menjadi penyumbang kepada insiden kemiskinan. Data juga akan berubah apabila garis kemiskinan diubah. Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan aganesi-agensi pelaksanan akan sentiasa memastikan maklumat tersebut dapat diperkemaskan dari semasa ke semasa.
-
Apakah masalah yang timbul akibat kemiskinan ini?
Kemiskinan boleh meninggalkan kesan negatif kepada individu, masyarakat dan negara. Masalah yang timbul akibat kemiskinan boleh menyebabkan banyak keperluan asasi individu dan keluarga tidak dapat dipenuhi. Keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan akan terabai. Selain itu kemiskinan boleh memberi kesan dan impak kepada pembangunan sosial masyarakat dimana ia boleh mengakibatkan indeks jenayah dan masalah sosial meningkat serta mengancam kesejahteraan rakyat.
-
Apakah langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi membantu mereka?
Strategi Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor adalah seperti berikut:-
- Meningkatkan pendapatan melalui program keusahawanan
Kerajaan Negeri telah mewujudkan beberapa program seperti Program Mikrokredit, program bantuan peralatan “blueprint”, kursus-kursus keusahawanan dan program-program peningkatan kemahiran. Program-program tersebut dilaksanakandengan objektif untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah berdikari dan meningkatkan pendapatan melalui pelbagai aktiviti keusahawanan.
- Membangunkan modal insan melalui pendidikan
Kerajaan Negeri memberi fokus kepada pembangunan modal insan anak-anak golongan miskin yang tercicir daripada melanjutkan pelajaran. Program Kemahiran Teknikal dan Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Antarabangsa INPENS ini berjaya menempatkan anakanak golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk meneruskan pelajaran di dalam bidang kemahiran teknikal peringkat sijil. Kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti Mekanik Kenderaan Motor, Juruteknik Elektrik, Pembuat Pakaian Wanita, Jurukecantikan, Mekanik Penyejukbekuan dan Penyaman Udara serta pelbagai kursus kemahiran lain.
Kerajaan Negeri juga turut menaiktaraf kemudahan di Kolej Antarabangsa INPENS dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan asrama yang akan dapat menempatkan seramai 500 orang pelajar.
Pengambilan pelajar yang bertambah akan dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan dapat membantu lebih ramai anak-anak keluarga miskin menerima pendidikan teknikal dan vokasional.
- Menyediakan kemudahan infrastruktur asas keluarga miskin
Pada masa ini Kerajaan Negeri melaksanakan Program Rumah Kerajaan Prihatin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada keluarga miskin dan berpendapatan rendah . Program-program ini akan diteruskan bagi memastikan keluarga miskin an berpendapatan rendah mendapat kemudahan asas yang diperlukan seperti rumah serta menerima akses kepada kemudahan bekalan elektrik dan air bersih.
- Meningkatkan kualiti kesihatan keluarga miskin
Program Bantuan Kesihatan juga telah diwujudkan. Tiga (3) jenis rawatan yang diberi bantuan adalah rawatan katarak mata, dialisis buah pinggang dan pembedahan kecil. Program bantuan kesihatan ini dapat mengurangkan beban golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos rawatan yang semakin meningkat. Kerajaan Negeri membiayai kos rawatan bagi katarak mata sebanyak RM1,200 (one-off), rawatan dialisis buah pinggang sebanyak RM2,000 seorang (One-off) dan pembedahan kecil tidak melebihi RM5,000 seorang pesakit.