Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

95) ISU KEBERSIHAN DAN BANJIR DI BANDAR DIRAJA KLANG

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri berikutan teguran DYMM Sultan Selangor berkenaan isu kebersihan dan banjir di Bandar Diraja Klang khususnya dan seluruh Selangor amnya?

    Susulan daripada teguran D.Y.M.M. Sultan Selangor mengenai isu kebersihan dan banjir di Bandaraya Diraja Klang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Induk Kebersihan Daerah Klang yang terdiri daripada semua Agensi Kerajaan, swasta, NGO dan komuniti dengan memberi fokus kepada peningkatan tahap kebersihan di daerah Klang. Setiap Jabatan/ Agensi yang terlibat bertanggungjawab untuk melaporkan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan daripada aspek kebersihan di daerah Klang termasuk di daratan, sungai dan lautan.

    MBDK juga telah menyediakan Pelan Tindakan Mitigasi Banjir-Klang atau Klang Sustainable Stormmate Management (KLASS) bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di kawasan setempat terutamanya di kawasan taman-taman perumahan di bawah pentadbiran MBDK. Pelan Tindakan Mitigasi Banjir Klang ini dilaksanakan secara berfasa di mana pelaksanaan fasa pertama akan mengambil masa 5 tahun bermula dari tahun 2025 sehingga 2030. Hala tuju rancangan mitigasi banjir ini adalah menaiktaraf sistem saliran utama perbandaran ke arah rekabentuk minima yang boleh ditampung selama 20 tahun (20 Average Recurrance Interval).

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah menerima kelulusan beberapa projek-projek tebatan banjir. Projek-projek ini dalam pelaksanaan di seluruh Negeri Selangor di mana setiap projek tersebut dijangka dapat mengurangkan kejadian banjir yang berlaku di kawasan yang terlibat. Kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan one-off juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan saliran-saliran berada dalam keadaan baik terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).

    Langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh JPS bagi mengatasi masalah banjir di Negeri Selangor adalah seperti berikut:

     

    1. Mensyaratkan keperluan penyediaan infrastruktur tadahan (detention facilities) berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI ke atas sebarang permohonan pembangunan tanah dan reka bentuk tadahan tersebut perlu dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk saliran terperinci di kawasan pemajuan yang terlibat.
    2. Analisis hidraulik dan hidrologi bagi reka bentuk tadahan dan sistem saliran yang mematuhi Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua 2012 (MSMA 2nd Edition).
    3. Melaksanakan penyenggaraan dan penaiktarafan ke atas struktur sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng, sistem amaran banjir dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur-struktur saliran lebih optimum semasa waktu puncak. Tahap penyelenggaraan dan penaiktarafan yang dilaksanakan juga mengambilkira hasil kajian dan data-data banjir terkini bagi melihat keberkesanan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir yang kompleks dan berbeza di setiap kawasan.
    4. Melaksanakan pemantauan secara berkala melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tebatan Banjir Negeri Selangor dan Mesyuarat Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM). Sebagai contoh, pelarasan parit/ longkang di setiap agensi terlibat, pelaporan mitigasi banjir dan cadangan penyelesaian banjir oleh seluruh agensi yang terlibat akan dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
    5. Melaksanakan beberapa siri kajian terhadap sistem saliran yang berada di dalam kawasan berisiko banjir bagi penghasilan simulasi hidraulik dan hidrologi serta mengenalpasti langkah-langkah penyelesaian dan pengurangan risiko masalah banjir di Negeri Selangor. Laporan kajian tersebut akan dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk dan reka bentuk saliran terperinci di kawasan sekitar.

      Perancangan strategi dan pemodelan yang digunakan adalah pendekatan yang melibatkan semua daerah di Negeri Selangor di mana kawasan yang sering berlaku banjir kilat atau hotspot banjir diberi keutamaan. Antara skop tebatan banjir yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    6. Menaiktaraf sungai;
    7. Melebar dan mendalamkan sungai;
    8. Membina kolam takungan banjir;
    9. Membina kunci air;
    10. Meninggi/ membina ban sungai; dan
    11. Menyediakan pam bergerak.
    • Membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua (2) kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.

     

    1. Langkah struktur merangkumi komponen seperti berikut:-
    • Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
    • Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir.
    • Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
    • Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer –  Supervisory Control And Data Acquisition (SCADA). Pintu Air ini akan dikawal secara automatik berdasarkan kenaikan paras air di sungai dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
    • Melebar dan mendalamkan sungai.
    • Menaiktaraf sistem saliran.

    Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen seperti berikut:-

    • Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap pada 4 April 2025.
    • Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
    • Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
    • Penggunaan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar
    • Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir.
    • Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

Lampiran

Tiada Lampiran.