Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

348) ISU INSINERATOR DI BATU ARANG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah meluluskan projek ini serta berapakah keluasan tanah yang akan digunakan?

    Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar cadangan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGE) pada bulan November 2022. Loji ini akan dibangunkan di Lot 3847, Rawang, Selangor dan akan menggunakan tanah seluas 245 ekar.

  2. Berapakah kapasiti "tan" sampah yang akan diproses setiap hari serta bagaimana pihak Kerajaan Negeri dapat memastikan pencemaran tidak berlaku dalam operasi insinerator?

    Kapasiti maksimum loji SISGE adalah 2,400 tan sampah sehari. Loji SISGE pada ketika ini sedang dalam proses Penilaian Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Loji SISGE ini perlu memenuhi semua piawaian alam sekitar yang ditentukan oleh JAS. Ini adalah proses yang wajib dilaksanakan bagi memastikan projek yang diluluskan tidak akan mencemarkan alam sekitar.

  3. Kenapakah Batu Arang dicadangkan untuk projek insinerator walaupun ia berdekatan dengan kawasan penempatan Bandar Tasik Puteri dan Kota Puteri yang padat?

    Lokasi tersebut masih di peringkat kajian EIA oleh pihak perunding dan akan dikemukakan kepada pihak JAS untuk penilaian selanjutnya. Lokasi tersebut merupakan lokasi yang paling strategik untuk menampung pengurusan pelupusan sisa pepejal di bahagian utara Negeri Selangor dengan mengambil kira jarak dari Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan jarak dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Lampiran

Tiada Lampiran.