Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

105) ISU HARGA RUMAH

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan Negeri Selangor bertindak untuk mengawal harga rumah yang semakin melambung terlalu tinggi dan menyukarkan rakyat untuk memiliki rumah sendiri?

    Untuk makluman YB, penetapan sesuatu harga rumah adalah ditentukan oleh pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan. Walau bagaimanapun, bagi memberi peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki rumah sendiri, Kerajaan Negeri turut berusaha mengawal harga jualan rumah dengan menetapkan Dasar Pembangunan Tanah seperti berikut :

    1. Bagi pembangunan yang melebihi 10 ekar
      • Kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana.
      • Kawasan Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana.
    2. Bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar)
      • Syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang.

    Selain daripada penetapan komposisi pembangunan perumahan, harga jualan maksimum terhadap rumah mampu milik turut dibuat. Harga jualan rumah mampu milik ditetapkan pada kadar seperti berikut :

    Kawasan Jenis Bangunan Harga (RM)
    Dalam kawasan Majlis Perbandaran (Lembah

    Klang)

    20% rumah kos rendah 42,000.00
    20% rumah kos sederhana rendah 72,000.00
    10% rumah kos sederhana 100,000.00
    Lain-lain        jenis    bangunan kediaman Bebas
    Dalam Kawasan Majlis Daerah 20% rumah kos rendah 35,000.00
    20% rumah kos sederhana rendah 60,000.00
    10% rumah kos sederhana 85,000.00
    Lain-lain        jenis    bangunan kediaman Bebas
    Luar Kawasan Majlis Daerah / Majlis

    Perbandaran

    20% rumah kos rendah 30,000.00
    10% rumah kos sederhana rendah 50,000.00
    10% rumah kos sederhana 70,000.00
    Lain-lain        jenis    bangunan kediaman Bebas

    Di samping menggunapakai dasar pembangunan sedia ada, Kerajaan Negeri dari masa ke semasa sentiasa menambahbaik dan mengkaji semula dasar sedia ada tersebut termasuk memperkenalkan Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru. Ini merupakan satu alternatif kepada pemaju bagi menyediakan rumah mampu milik khususnya di kawasan-kawasan yang didapati kurangnya permintaan terhadap rumah kos rendah atau di kawasankawasan yang berlaku lebihan pembinaan rumah kos rendah. Melalui cara ini sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan penyediaan rumah di bawah harga RM120,000 yang mampu dibeli dengan kemudahan yang lebih selesa berbanding rumah kos rendah.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, segala syarat penetapan komposisi pembinaan rumah dan harga jualan rumah ini dimasukkan dalam surat kelulusan pemberimilikan dan pembangunan tanah untuk tujuan pengawalan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor. Sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBN akan menyukarkan proses pindah milik daripada pemaju kepada pembeli pertama.

  2. Bagaimana kaedah dan cara yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam menangani masalah projek rumah terbengkalai?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan proaktif dalam menangani masalah projek rumah terbengkalai di Negeri Selangor melalui beberapa kaedah dan pendekatan yang bersesuaian bagi tujuan pemulihan projek tersebut. Untuk menangani masalah tersebut, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Projek

    Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada Y.B. Penasihat Undang-undang, Pengarah Eksekutif LPHS, Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Insolvensi / Liquidator, Jawatankuasa Pembeli / Pemilik Rumah dan Bank terlibat yang mana dipengerusikan oleh saya sendiri akan terus berbincang dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai kos rendah. Jawatankuasa ini telah menjalankan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) bagi mengenal pasti isu dan masalah serta kos pemulihan projek kos rendah tersebut. Setakat ini terdapat 13 projek telah dikenal pasti berpotensi dipulihkan oleh jawatankuasa ini.

    Jawatankuasa ini juga telah mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit atau pemaju penyelamat bersama semua jabatan teknikal bagi tujuan mempercepatkan kaedah pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang minima  tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan. Selain itu, Jawatankuasa ini juga akan mengatur pertemuan dengan pembiayapembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pemajupemaju menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan dan seterusnya menyelesaikan masalah kewangan pemaju.

    Sekiranya terdapat kenaikan kos pemulihan, Jawatankuasa ini akan membuat penilaian semula kos pemulihan projek tersebut bagi mendapatkan butiran terperinci kos tambahan yang perlu ditanggung secara bersama oleh pembelipembeli. Walau bagaimanapun, ia perlu mendapat persetujuan sekurangkurangnya 85% daripada jumlah pembeli bagi tujuan pemulihan. Lanjutan daripada itu, jawatankuasa ini turut mengadakan mesyuarat berkala bagi memantau perkembangan projek tersebut dari masa ke semasa sehingga memperolehi Sijil Layak Menduduki.

    Kerajaan Negeri juga sebagai langkah  terakhir akan mengambil tindakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tindakan perampasan tanah sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah S.100 KTN dan pelanggaran syarat di bawah S.129 KTN bagi memastikan projek tersebut dapat dipulihkan semula. Sebagai contoh, tindakan ini telah dilaksanakan bagi penyelesaian Projek Bukit Botak dan Alam Perdana yang melibatkan pengambilan tanah secara menyeluruh bagi tujuan memulihkan semula projek terbengkalai dan menjamin hak pembeli terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.