Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

329) ISU HARGA LANTAI BELIAN PADI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi menanggapi isu harga lantai belian padi yang dianggap rendah dan membunuh para pesawah?

    Isu harga lantai belian padi adalah di bawah bidang kuasa kawalan oleh Kerajaan Persekutuan. Merujuk kepada isu harga lantai belian padi yang dianggap rendah, baru-baru ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengumumkan harga lantai belian padi yang mana telah diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa pada 16 Februari 2025.

    Seiring penyelarasan baru harga lantai padi ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengumumkan harga beras putih tempatan di pasaran juga kekal pada RM2.60 sekilogram.

    Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi menang-menang kepada semua, bermula daripada pesawah, pengilang dan seterusnya pengguna.

    Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi oleh pesawah di seluruh negara, memandangkan langkah demikian akan membantu mereka menambah hasil dan pendapatan bagi setiap musim.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan negeri menyediakan insentif di bawah projek pembangunan tanam padi bagi pesawah di negeri Selangor. Insentif ini merangkumi peningkatan hasil padi, pemuliharaan dan pemulihan tanah sawah, pengeluaran padi myGAP dan pengurusan perosak bersepadu (IPM) yang diperincikan seperti berikut: –

    1. Peningkatan Hasil Padi dimana tujuan utama adalah untuk meningkatkan hasil padi dengan menggunakan pakej tanaman yang terkini dan bersistematik contoh penggunaan baja berbentuk foliar, penggunaan baja semi organik dan asid amino, yang dapat meningkatkan hasil dan dalam masa yang sama boleh mengekalkan kelestarian.
    2. Pemuliharaan dan Pemulihan Tanah Sawah dimana kerja membajak dan memulihkan tanah sawah mengikut tapak projek yang dipilih selain menggunakan perapi tanah untuk memperbaiki struktur tanah sebelum kerja-kerja penanaman.
    3. Perlaksanaan Program Padi myGAP melalui program pensijilan, pembinaan KIOS Pusat Jualan dan pembinaan Bengkel Pemprosesan Beras myGAP.
    4. Pengurusan Perosak Bersepadu Tanaman Padi (IPM) melalui  penggunaan racun biopesticide dan acid amino serta baja semi organik.

Lampiran

Tiada Lampiran.