Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
26) ISU DAN TINDAKAN TERHADAP MASALAH LAMPU JALAN YANG TIDAK BERFUNGSI DAN JALAN BERLUBANG
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah SOP Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini?
CKE SELANGOR – MASALAH LAMPU JALAN TIDAK BERFUNGSI
Punca utama ketidakfungsian lampu jalan di Negeri Selangor adalah akibat dari kerosakan kabel bawah tanah (sama ada vandalisma (kecurian), uzur (pemasangan lebih 20 tahun), luka/leakage (akibat terkena korekan – pelebaran jalan/pemasangan kabel utiliti/ resurfacing) dan sebagainya).
Langkah pembaikan (SOP) untuk mengatasi masalah ini bergantung kepada keadaan di tapak untuk dilaksanakan pembaikan yang cost-effective dan paling menguntungkan Kerajaan.
Di antara langkah pembaikan yang dibuat adalah :-
(i) menukarganti lampu sedia ada kepada Solar LED (sekiranya kos pembaikan kabel bawah tanah terlalu tinggi)
(ii) menukarganti lampu sedia ada kepada LED (sekiranya lampu sedia ada terlampau uzur)
(iii) menukarganti komponen lampu sedia ada
(iv) membaiki kabel bawah tanah secara ‘jointing’
(v) memasang kabel baru secara atas talian (cable fly)
Had tempoh masa bagi melaksanakan kerja pembaikan ini bergantung kepada kelulusan peruntukan. Secara asas, selepas peruntukan diterima, tempoh pembaikan adalah di antara 8 minggu hingga 16 minggu tertakluk kepada kos dan skop kerja pembaikan tersebut.
-
Adakah pihak Kerajaan Negeri menetapkan had tempoh masa untuk menyelesaikan isu ini?
Jalan Negeri – Masalah Jalan Berlubang
Bagi masalah jalan berlubang, pembaikan dan penurapan semula jalan raya, pemantauan kualiti kerja-kerja turapan di Negeri Selangor dilakukan berdasarkan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Senggara Jalan yang dikeluarkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia.
Berdasarkan kepada SOP tersebut, tindakan-tindakan yang akan diambil adalah seperti berikut;
1) Kerja penampalan sementara untuk potholes akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam apabila ia dikenalpasti dengan menggunakan bahan turapan ‘Cold Mix’ supaya keselamatan pengguna terjamin. Penampalan kekal akan dilaksanakan dalam tempoh 3 hari dengan menggunakan bahan turapan ‘Hot Mix’
2) Rondaan audit sentiasa dilakukan melibatkan JKR Daerah dan konsesi bagi memantau keadaan jalan sebenar di tapak. Kegagalan pihak konsesi melaksanakan kerja pembaikan di tapak akan menyebabkan pihak konsesi dikenakan NCR dan pemotongan ke atas tuntutan bayaran bulanan untuk kerja penyenggaraan jalan dilakukan sebagai penalti.
3) Bagi mengawal aspek kualiti, JKR Selangor mengambil tindakan dengan melaksanakan audit kuari untuk memastikan campuran asphalt yang digunakan adalah mengikut spesifikasi. Kawalan spesifikasi amat penting agar kualiti asphalt yang digunakan dapat menjamin ketahanannya mengikut tempoh yang sepatutnya iaitu 7 tahun bagi kerja senggara jalan sedia ada.
Jalan Persekutuan
Bagi memastikan lubang-lubang jalan raya ditampal, pihak konsesi akan melaksanakan rondaan rutin (routine inspection) dengan kekerapan 2 kali seminggu. Bagi lubang-lubang jalan raya yang telah dikenalpasti melalui rondaan dan aduan awam, pihak konsesi perlu membuat tampalan sementara dalam tempoh 24 jam manakala tampalan kekal perlu dilaksanakan dalam tempoh 3 hari. Pihak JKR akan memantau pelaksanaan kerja-kerja tampalan melalui sistem ASSAP (Aplikasi Sistem Pemantauan Pothole).