Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

372) ISU BEKALAN AIR DI DUN KUANG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Masalah tekanan dan bekalan air di Kuang telah menyebabkan permohonan bekalan air baru oleh penduduk yang membina rumah ditanah sendiri terutamanya di Lorong Orkid Kuang ditolak. Apakah perancangan pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah tersebut terutamanya permohonan bekalan air baru?

    Kawasan Kuang telah mengalami pertambahan penduduk di mana terdapat banyak Kawasan yang dahulunya berstatus pertanian telah dimajukan kepada kawasan kediaman dan taman perumahan. Faktor ini telah menyebabkan permintaan air terawat juga semakin meningkat, lalu menyebabkan sistem sedia ada tidak dapat menampung pertambahan permintaan ini. Sehingga Oktober 2024, terdapat enam Permohonan Sokongan Kebenaran Merancang daripada Air Selangor untuk bekalan air baharu dengan jumlah keperluan air sebanyak 213,500 liter sehari di sekitar kawasan Kuang yang masih tertangguh. Bagi menangani isu ini, pihak Air Selangor telah merangka pelan penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang

    Bagi pelan jangka masa pendek, Air Selangor telah membuat penambahbaikan tekanan air melibatkan sebahagian kawasan tinggi di Kuang (terutamanya di Lorong Orkid) dengan penyiapan kerja-kerja penyambungan di antara paip agihan sedia ada bersaiz 300mm dan paip pengepaman utama bersaiz 1400mm. Bagi memastikan tekanan yang terkawal, pemasangan injap pengurangan tekanan (PRV) juga telah dipasang untuk mengelakkan paip sedia ada yang terdiri daripada jenis simen asbestos daripada bocor atau pecah. Pengawalan tekanan air melalui pemasangan PRV adalah penting bagi mengimbangi tekanan air di kawasan tinggi dan rendah semasa waktu puncak.

    Bagi pelan jangka masa panjang, Air Selangor telah membuat perancangan bagi menaik taraf sistem bekalan air di Kuang melalui pembinaan infrastruktur bekalan air baharu yang merangkumi rumah pam dan tangki – tangki baharu, serta menaik taraf paip agihan yang bersaiz lebih besar bagi menampung keperluan air sedia ada dan pembangunan baharu akan datang. Air Selangor akan mengemukakan pelan perniagaan kepada SPAN bagi tujuan peruntukan dan kelulusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.