Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
337) ISU BANJIR KILAT
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah punca menyebabkan banjir kilat di Jalan Meru (depan Sekolah Tinggi Klang hingga sepanjang Jalan Sirat Klang?
Hasil semakan tapak mendapati sebahagian Jalan Meru tiada lubang parit erong dan sebahagian lubang parit erong kecil menyebabkan air hujan bertakung dan lambat mengalir keluar ke longkang utama. Di samping itu, sebahagian kawasan perumahan lama di sekitar Jalan Meru, Klang mempunyai aras yang rendah menyebabkan hujan yang turun dengan lebat dan air akan bertakung di permukaan jalan. Banjir kilat di kawasan sekitar Jalan Meru, Klang kerap berlaku selepas pembinaan LRT3.
-
Apakah tindakan akan diambil oleh pihak berkenaan untuk menyelesaikan isu banjir kilat ini?
Majlis Bandaraya Diraja Klang telah merujuk aduan banjir kepada pihak LRT3 untuk semakan dan cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di lokasi Jalan Meru, Klang. Antara cadangan yang disyorkan adalah semakan saiz lubang parit erong yang perlu dibesarkan dan semakan sistem saliran bawah tanah di sekitar Jalan Meru, Klang untuk tindakan pembersihan oleh pihak LRT3.