Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

152) ISU BANJIR KILAT

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Isu banjir kerap berlaku disebabkan pembangunan yang pesat, apakah rancangan untuk menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh di Negeri Selangor?

    Setiap pembangunan yang dicadangkan perlu disediakan kolam takungan (detention pond) bagi mengawal pertambahan air larian permukaan (surface water runoff) dan kadar kuantiti air sebelum dan selepas (Qpre dan Qpost) pembangunan dapat dikawal kesan daripada pembukaan tanah. Pihak JPS mensyaratkan setiap pemaju agar menyediakan kolam takungan On Site Detention (OSD) yang berfungsi untuk mengawal, menakung sementara dan memperlahankan kadar aliran air yang memasuki sungai serta longkang berhampiran dengan kawasan pembangunan bagi mengelakkan limpahan air sungai yang menyebabkan berlakunya banjir.

  2. Apakah rancangan jangka panjang dan pendek untuk penyelesaian isu banjir di kawasan Pekan Rawang dan Sungai Bakau?

    Perancangan jangka pendek yang diambil oleh JPS Daerah Gombak adalah menaiktaraf ‘pump sump’ di Jalan Maxwell bagi membolehkan pam yang berkapasiti tinggi diletakkan dan mempercepatkan air dipam terus ke sungai berhampiran. Manakala perancangan jangka panjang yang perlu diambil adalah menaiktaraf longkang sediada yang terdapat di kiri dan kanan Jalan Maxwell menampung kapasiti air larian permukaan yang kian bertambah disebabkan oleh pembangunan berhampiran dan ketidakupayaan longkang sediada menampung tambahan air yang melaluinya

    Pihak JPS telah melaksanakan Projek Menaiktaraf Sungai Bakau Serta Kerja- Kerja Berkaitan Di Mukim Rawang, Daerah Gombak, Selangor dengan kos RM3,580,362.00 di bawah peruntukan Caruman Parit. Projek ini dijangka dapat mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Bandar Country Home, Taman Bayu Permai, Kampung Sungai Bakau, Taman Anggun serta kawasan sekitarnya. Skop projek adalah menaiktaraf sistem saliran bagi melancarkan aliran sungai bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap kali berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.