Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

361) ISU BANJIR DISEBABKAN FENOMENA PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan untuk mengurangkan berlaku banjir di Selangor disebabkan fenomena perubahan iklim?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menangani isu banjir yang berlaku. Terdapat projek-projek tebatan banjir yang telah diluluskan dan dalam pelaksanaan di seluruh Negeri Selangor yang mana setiap projek tersebut dijangka dapat mengurangkan kejadian banjir yang berlaku di kawasan yang terlibat. Kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan one-off juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan saliran-saliran berada dalam keadaan baik terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).

    Langkah-langkah pengurusan terbaik (Best Management Practices) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dalam mengatasi masalah banjir di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

     

    1. Mensyaratkan keperluan penyediaan tadahan (detention facilities) berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI ke atas sebarang permohonan pembangunan tanah dan reka bentuk tadahan tersebut perlu dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk saliran terperinci di kawasan pemajuan yang terlibat.
    2. Analisis hidraulik dan hidrologi bagi reka bentuk tadahan dan sistem saliran adalah disyaratkan untuk merujuk Manual Saliran Mesra Alam Edisi Kedua 2012 (MSMA 2nd Edition).
    3. Melaksanakan penyenggaraan dan penaiktarafan ke atas struktur sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng, sistem amaran banjir dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur-struktur saliran lebih optimum semasa waktu puncak. Tahap penyelenggaraan dan penaiktarafan yang dilaksanakan juga mengambilkira hasil kajian dan data-data banjir terkini bagi melihat keberkesanan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir yang kompleks dan berbeza di setiap kawasan.
    4. Melaksanakan pemantauan secara berkala melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tebatan Banjir Negeri Selangor dan Mesyuarat Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi memastikan bidang tugas bagi setiap Ahli Jawatankuasa dapat dipenuhi. Sebagai contoh, pelarasan parit/ longkang di setiap agensi terlibat, pelaporan mitigasi banjir dan cadangan penyelesaian banjir oleh seluruh agensi yang terlibat akan dibincangkan di dalam mesyuarat tersebut.
    5. Menjalankan beberapa siri kajian ke atas sistem saliran yang berada di dalam kawasan berisiko banjir bagi penghasilan simulasi hidraulik dan hidrologi serta mengenalpasti langkah-langkah penyelesaian dan pengurangan risiko masalah banjir di Negeri Selangor. Laporan kajian tersebut akan dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk dan reka bentuk saliran terperinci di kawasan sekitar.
    6. Perancangan strategi dan pemodelan yang digunakan adalah pendekatan yang melibatkan semua daerah di Negeri Selangor di mana kawasan yang sering berlaku banjir kilat atau hotspot banjir diberi keutamaan. Antara skop tebatan banjir yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
      – Menaiktaraf sungai
      – Melebar dan mendalamkan sungai
      – Membina kolam takungan banjir
      – Membina kunci air
      – Meninggi/ membina ban sungai
      – Menyediakan pam bergerak
    7. Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS telah membuat perancangan pengurusan banjir melalui dua (2) kaedah iaitu langkah struktur dan langkah bukan struktur dalam menangani isu banjir pada masa akan datang.Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti berikut:-
      – Pembinaan ban banjir, tembok penahan banjir (flood wall), terowong banjir (flood tunnel), bypass channel dan barrage bagi tujuan kawalan banjir.
      – Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi di samping untuk tujuan pengurusan banjir.
      – Pembinaan kolam takungan banjir seperti underground storage, elevated pond, vertical & horizontal storage dan kolam takungan bertingkat.
      – Pembinaan pintu kawalan air dan rumah pam yang diintegrasikan dengan Sistem Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer – Supervisory Control And Data Acquisition (SCADA) bagi pintu air di kawasan yang berisiko tinggi mengalami banjir. Pintu Air ini akan dikawal secara automatik berdasarkan kenaikan paras air di sungai dan juga boleh dikawal serta dipantau menerusi komputer dan telefon pintar.
      – Melebar dan mendalamkan sungai seperti Projek Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Klang Termasuk Meninggikan Ban Sungai Klang.
      – Menaiktaraf sistem saliran.

      Langkah bukan struktur pula terdiri daripada komponen-komponen seperti berikut:-
      – Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang berupaya meramal kejadian banjir monsun 7 hari lebih awal, memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal, ketepatan ramalan aras air (+/- 0.5m) dan ramalan banjir kilat 1-3 jam lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, PRAB juga berupaya memberi amaran dan hebahan banjir monsun dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir. Perolehan program ini telah bermula pada September 2021 dan dijangka siap pada 4 April 2025. Program ini merangkumi pengesanan, ramalan, amaran dan hebahan.
      – Pembangunan Rangkaian Stesen Hidrologi termasuk Sistem Siren Amaran Banjir untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.
      – Pembangunan Sistem Pemantauan Banjir melalui laman web Infobanjir Negeri Selangor untuk memberi amaran awalan banjir kepada orang awam mengenai status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir.
      – Penggunaan Garis Panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menetapkan keperluan mandatori yang perlu dipatuhi bagi pembangunan baru di kawasan bandar.
      – Pendekatan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu dan Pengurusan Banjir Bersepadu bagi rancangan pengurusan banjir. Ini akan memberikan pendekatan yang lebih seimbang antara langkah-langkah struktur dan bukan struktur serta tahap penyertaan masyarakat yang lebih tinggi.
      – Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM – Integrated River Basin Management) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP – Integrated Flood Management Plan) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

  2. Nyatakan statistik banjir kilat yang berlaku di Selangor sejak tahun 2014.

    Untuk makluman Yang Berhormat, kebanyakan banjir kilat yang berlaku di Negeri Selangor adalah disebabkan oleh sistem saliran dalam di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sehubungan itu, JPS Negeri Selangor tidak mempunyai maklumat statistik banjir kilat yang berlaku di Negeri Selangor.

    Bagaimanapun, JPS Negeri Selangor sedang mengumpulkan maklumat hotspot banjir daripada pihak PBT bagi tujuan pelarasan input dan penentuan lokasi hotspot banjir selaras dengan penilaian lokasi hotspot oleh JPS untuk diseragamkan oleh semua agensi di negeri.

    Maklumat Tambahan:

    Pelan Induk Air

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan menjalankan Kajian Pelan Induk Air bagi meneliti semua perkara berkaitan air di negeri Selangor termasuk banjir dan pengurusan air mentah. Kajian tersebut turut akan merangkumi sistem pengurusan banjir bawah tanah di mana Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengaplikasikan sistem pengurusan tersebut seperti yang dilaksanakan di negara Jepun. Di negara Jepun, air sisa daripada penggunaan domestik dan air hujan disalurkan di bawah tanah dan jauh dari bandar untuk mengelakkan banjir. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memulakan kajian tersebut pada bulan Januari 2025 dan akan meneliti pelan pengurusan air dan banjir yang komprehensif yang melibatkan Kuala Lumpur dan Selangor, memandangkan air dari ibu kota mengalir melalui negeri Selangor sebelum sampai ke laut.

  3. Nyatakan perbandingan perbezaan cuaca dan hujan sejak tahun 2014 hingga kini.

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Negeri Selangor tiada maklumat berkenaan perbandingan perbezaan cuaca sejak tahun 2014 hingga kini memandangkan perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Meteorologi Malaysia/ Negeri. Bagaimanapun, JPS Negeri Selangor menyimpan rekod purata taburan hujan 10 tahun ke belakang iaitu dari tahun 2014 hingga 2023 sebagai panduan bagi pengiraan Anggaran Purata Hujan Bulanan & Tahunan berdasarkan rekod trend taburan hujan bagi tempoh 10 tahun (2014 – 2023). Rekod Purata Taburan Hujan 10 Tahun (2014 – 2023) adalah seperti berikut:-

Lampiran

Tiada Lampiran.