Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
263) ISU BANJIR DISEBABKAN AIR LAUT PASANG BESAR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan dan perancangan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah banjir kilat yang disebabkan oleh air laut pasang besar yang semakin tinggi setiap tahun di Negeri Selangor khususnya Pelabuhan Klang?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM91,242.66 untuk melaksanakan Kajian Keberkesanan Benteng Pantai Negeri Selangor ke atas Perubahan Aras Laut dan telah siap pada tahun 2023. Objektif kajian tersebut adalah untuk menilai keutuhan benteng pantai sedia ada di sepanjang garis pantai yang dikenal pasti di negeri Selangor dalam memberi perlindungan daripada ombak dan juga kemasukan air laut ke bahagian darat akibat daripada pelbagai faktor alam sekitar. Selain itu, objektif kajian tersebut juga untuk menggubal pelan induk yang komprehensif dan bersepadu bagi pengurusan fenomena banjir pantai di sepanjang garis pantai yang dikenal pasti di negeri Selangor termasuk reka bentuk konsep, anggaran kos dan pelan pelaksanaan.
Selain daripada itu, Kerajaan Persekutuan melalui JPS Negeri Selangor turut memperuntukkan sebanyak RM36.04 juta untuk melaksanakan lapan (8) projek di bawah projek Fenomena Air Pasang Besar di Negeri Selangor. Berikut adalah perincian projek yang dilaksanakan oleh JPS Negeri Selangor:-
Bagi mengurangkan limpahan air dan risiko hakisan ban semasa air pasang besar khususnya di Pelabuhan Klang, JPS Negeri Selangor telah memperuntukkan kos sebanyak RM339,903.00 untuk melaksanakan beberapa kerja-kerja sementara dan kekal seperti menaiktaraf ban, membina benteng guni pasir dan meninggikan ban sedia ada. Kerja-kerja yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-
Sebagai rekod, Fenomena Air Pasang Besar pada tahun 2024 adalah yang tertinggi dilaporkan dengan bacaan melebihi ketinggian 5.9m di kawasan Pelabuhan Klang. Terdapat banyak kawasan-kawasan di Pelabuhan Klang lumpuh akibat banjir pantai yang berlaku semasa air pasang besar seperti Jalan Telok Gong (Taman Glenmarie Cove), Jeti Pulau Ketam, Jalan Pandamaran Banting (Pintu Air Sungai Aur) dan beberapa kawasan di Pulau Indah. Pada 18 Oktober 2024, bacaan tertinggi ombak di Kapar Power Station telah direkodkan sebanyak 6.1m (Sumber: Laman Web Lembaga Pelabuhan Klang) berbanding ramalan setinggi 5.8m (Sumber: Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, Terbitan Pusat Hidrografi Nasional).