Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
133) ISU AIR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini isu pengambilan syarikat air oleh Kerajaan Negeri?
Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi. Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi. Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.
Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memulakan semula rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Rundingan semula ini telah bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Mesyuarat Jawatan Kuasa penstrukturan tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KTTHA dan dianggotai oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari Y.B. Penasihat Undangundang, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar, Pegawai Penyelidik kepada YAB Dato
Menteri Besar, wakil Pejabat kepada YAB Dato Menteri Besar dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di dalam Jawatan Kuasa Penstrukturan peringkat Kerajaan Persekutuan.
Peranan dan Tanggungjawab jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor adalah seperti berikut:-
- mengkaji dan menilai cadangan konsep da model penstrukturan dan opsyen yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).
- Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini mengikut opsyen yang telah dipersetujui.
- Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
- KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan
Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
- Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.
Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan model penstrukturan semula negeri Selangor ke dalam Jawatan kuasa tersebut.
Model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah pengambilalihan kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator yang terdiri dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single Operator dalam mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari rawatan hingga pengagihan air kepada pengguna di Negeri Selangor.
PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan Puncak Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk agihan dan rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN.
Namun Jawatan Kuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi. Lanjutan dari persetujuan ke atas Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah mengujudkan Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja di peringkat Negeri Selangor. Jawatan Kuasa Induk Rundingan diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA adalah berperanan untuk mengemukakan dan merundingkan harga tawaran kepada Pemegang Konsesi. Manakala Jawatan Kuasa Kerja diketuai oleh Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil dari Syarikat Konsesi Air. Jawatan Kuasa Kerja adalah berperanan untuk membincangkan dengan wakil Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi kewangan yang berkaitan dengan harga yang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya melaporkan kepada Jawatan Kuasa Induk Rundingan. Rundingan dengan Pemegang Konsesi telah dimulakan oleh Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja bermula semenjak 10 Jun 2009.
Segala hasil dari rundingan dengan Pemegang Konsesi akan dilaporkan kepada Jawatan Kuasa Penstrukturan Semula di KTTHA. KTTHA telah memberikan tempoh sehingga 30 Jun 2009 untuk memuktamadkan rundingan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor.
-
Apakah halangan yang perlu dilalui oleh Kerajaan Negeri dalam perlaksanaan (a) di atas?
Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi. Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi. Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa:
- Asas penilaian secara Capitalised Value yang dibuat oleh Kerajaan Negeri tidak seiring dengan prinsip penilaian kewangan yang biasa diguna pakai dan diterima umum;
- Nilai tawaran hanya mengambil kira sebahagian daripada jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh Pemegang Konsesi dan tidak mengambil kira usaha/ganjaran yang sepatutnya diterima oleh Pemegang Saham dalam mempelopori perniagaan; dan
- Nilai yang ditawarkan tidak mencukupi untuk menampung obligasi jumlah hutang dan pinjaman Pemegang Konsesi.
Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah mengadakan beberapa siri rundingan semula dengan Kerajaan Negeri Selangor. Rundingan semula ini telah bermula semenjak 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air (KTTHA). Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi ahli dalam jawatan kuasa ini selain daripada agensi Kerajaan Persekutuan seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Setelah beberapa siri rundingan diadakan, Model penstrukturan semula yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor telah dipersetujui diterima oleh Jawatankuasa tersebut untuk dijadikan asas rundingan dengan Pemegang Konsesi. Dalam menentukan nilai yang akan ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada kaedah penilaian yang digunakan oleh PAAB iaitu 1 x Nett Book Value.
Berdasarkan kepada kaedah penilaian yang ditetapkan oleh PAAB, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat penilaian mengambil alih kesemua Pemegang Konsesi Air di Negeri Selangor untuk disusun semula di bawah satu struktur baru yang akan terdiri dari sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Nilai yang dipersetujui untuk ditawarkan dan dirundingkan dengan Pemegang Konsesi adalah tidak lebih dari RM9.218 bilion.
Bermula dari 10 Jun 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan rundingan semula mengenai nilai tawaran baru sejumlah RM9.218 bilion dengan Pemegang Konsesi Air. Hasil dari rundingan tang telah dibuat setakat ini, dua Pemegang Konsesi iaitu Konsortium ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tiada halangan untuk menerima nilai yang ditawarkan itu. Namun bagi Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd dan SYABAS, kedua Pemegang Konsesi ini telah mengemukakan tawaran balas yang tinggi melebihi apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.
Penilaian ke atas jumlah RM9.218 bilion yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pemegang Konsesi Air adalah berdasarkan kepada analisa yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri ke atas Audited Account setiap Syarikat Konsesi Air. Nilai yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri pada kali ini adalah nilai maksima sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kerajaan Negeri adalah tidak berupaya untuk menawarkan nilai yang lebih tinggi dari nilai yang telah dipersetujui oleh PAAB. Ini adalah kerana bayaran yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi adalah tertakluk kepada jumlah yang akan dibayar oleh PAAB kepada Kerajaan Negeri.
Selain dari itu, sekiranya nilai yang tinggi ditawarkan kepada Pemegang Konsesi, ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada operasi operator baru yang akan dilantik oleh Kerajaan Negeri selepas penstrukturan disempurnakan. Nilai pengambilalihan yang tinggi akan menyebabkan kadar sewa pajakan yang tinggi perlu dibayar oleh operator baru kepada PAAB. Kadar sewa pajakan yang tinggi yang akan ditanggung oleh operator yang baru kelak akan menyebabkan kos operasi meningkat dan akhirnya perlu diserapkan dalam bentuk tarif tinggi yang akan ditanggung oleh penggunaan rakyat Negeri Selangor. Keadaan ini adalah bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
-
Nyatakan langkah yang akan diambil untuk mengatasi (b) di atas
Hasrat untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air mengikut cadangan Kerajaan Negeri Selangor perlu dilaksanakan kerana cadangan penstrukturan ini adalah memenuhi semua ciri yang ditekankan oleh Kerajaan Persekutuan. Sekiranya halangan kepada pelaksanaan penstrukturan hanya disebabkan oleh perbezaan nilai yang ditawarkan dan nilai yang ingin diterima oleh Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk membawa perkara pertikaian mengenai nilai tersebut untuk disemak dan ditentukan oleh satu badan penilai bebas yang akan dilantik berdasarkan kepada persetujuan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Pemegang Konsesi. Sebarang keputusan yang dibuat oleh badan penilai bebas tersebut adalah muktamad dan akan dipatuhi oleh Kerajaan Negeri dan Pemegang Konsesi.