Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

24) ISU AGROPELANCONGAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri boleh menyelaras agropelancongan seperti homestay di kawasan sawah padi supaya tidak bercanggah dengan isu keterjaminan makanan?

    Kerajaan Negeri boleh menyelaras agropelancongan seperti homestay di kawasan sawah padi supaya tidak bercanggah dengan isu keterjaminan makanan dengan cara mengawal aktiviti pembangunan dan komersil di atas tanah pertanian sawah padi melalui perancangan pengawalan pembangunan yang teratur dan tersusun. Justeru, satu Garis Panduan Permit Khas Selain Pertanian (GP-PKST) sedang dirangka bagi memastikan aktiviti agropelancongan di atas tanah berstatus pertanian dapat dikawal selia bagi memastikan ianya tidak mengurangkan hasil pengeluaran beras negara daripada kawasan jelapang padi ini.

    Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) telah bekerjasama dengan pihak Malaysian Productivity Council (MPC) dalam menyediakan GP-PKST yang merangkumi gerak kerja pengumpulan data maklumat dari lapangan ke atas pihak-pihak Pemegang Taruh (Stakeholder) dari pelbagai peringkat agar ianya dapat difahami oleh semua pihak termasuk pengusaha homestay, pemilik tanah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Tanah Daerah (PTD).

    Selaras dengan langkah ini, adalah dipastikan bahawa aktiviti agropelancongan di atas tanah jelapang padi akan disokong, namun tetap dikawal oleh PBN demi memastikan ianya tidak bercanggah dengan isu keterjaminan makanan serta memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

  2. Adakah polisi penggunaan tanah yang sebelum ini 20% dari keluasan tanah dibenarkan bagi kediaman dan lain-lain?

    Polisi penggunaan tanah 20% atau 1/5 bahagian dari luas keseluruhan tanah dalam satu hakmilik, adalah dikenakan atas tanah pertanian sahaja mengikut Seksyen 115(4)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828). Bagi tanah status bangunan kediaman, syarat tersebut digunapakai.

    Namun dalam isu aktiviti komersil dalam bangunan kediaman, adalah disarankan agar permohonan tukar syarat tanah daripada bangunan kediaman kepada komersil dibuat. Ia juga bergantung kepada aktiviti komersil yang dijalankan. Sekiranya Permit Khas dipohon untuk bangunan kediaman, tiada syarat luas minimum yang diperlukan. Hal ini kerana fi Permit Khas ke atas bangunan kediaman dikira berdasarkan luas meter persegi tapak yang digunakan atau diusahakan dengan akitiviti komersil yang berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.