Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
250) INTERNET (JALUR LEBAR)
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kemudahan jalur lebar (internet) di kawasan pendalaman untuk kegunaan pelajar-pelajar di kawasan luar bandar?
Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan kemudahan jalur lebar (internet) melalui perkhidmatan WiFi Smart Selangor. Pada Julai 2020, penjajaran baru WiFi Smart Selangor telah diluluskan oleh MMKN. Pemasangan WiFi Smart Selangor ditumpukan kepada kluster-kluster utama iaitu perumahan, pendidikan, kesihatan, keagamaan, dan komuniti dengan tumpuan ke kawasan luar bandar dan kumpulan sasaran B40. Selain itu, kualiti perkhidmatan telah dipertingkatkan dengan kelajuan backhaul minima 100Mbps bagi setiap akses point (AP) dan 4Mbps bagi setiap pengguna. Setiap AP berkemampuan menampung seramai 30 orang pengguna pada satu-satu masa.
Pada tahun 2020, seramai 307,800 pengguna telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan WiFi Smart Selangor. Manakala pada tahun 2021 iaitu sehingga Julai ialah seramai 117,925 pengguna.
Sehingga kini, terdapat 749 AP telah dipasang di seluruh Negeri Selangor. Pecahan AP mengikut kluster adalah seperti berikut :
No Kluster Bilangan AP 1 Perumahan 74 2 Pendidikan, Kesihatan dan Keagamaan 418 3 Pusat Komuniti 103 4 Pengangkutan, Sukan dan Rekreasi 57 5 Agensi dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri 97 Pemasangan WiFi Smart Selangor diperluaskan di seluruh negeri terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar bergantung kepada ketersediaan rangkaian infrastruktur. Perkhidmatan WiFi percuma ini bermanfaat kepada pengguna terutamanya pelajar untuk mencari maklumat dan melaksanakan pembelajaran di dalam talian “online learning”
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 1.6 Juta pada tahun 2020 dan RM 2 Juta pada tahun 2021 untuk membiayai kos pengurusan perkhidmatan WiFi Smart Selangor.
-
Apakah persediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk pelajar-pelajar yang melaksanakan PDPR di rumah?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemberbadanan) telah melancarkan dua inisiatif yang melibatkan penawaran internet bersubsidi untuk pelbagai golongan sasaran, termasuk pelajar-pelajar yang melaksanakan PDPR dari rumah. Dua inisiatif ini ialah :
- Inisiatif Subsidi Data Internet Selangor (DIS), dan
- Inisiatif Skim Internet Selangor M40 (SISM40)
Data Internet Selangor (DIS) akan memberikan kad SIM dan langganan data internet mudah-alih secara percuma selama tempoh 12 bulan kepada pelbagai golongan sasaran. Untuk sasaran golongan pelajar, Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bekerjasama dengan pejabat Menteri Besar Selangor (yang memegang portfolio Pendidikan), Yayasan Selangor dan Program Tuisyen Rakyat Selangor untuk mengenal pasti sejumlah penerima manfaat dibawah DIS. Inisiatif DIS yang dilancarkan pada awal bulan Ogos setakat ini telah mengenal pasti lebih 10,000 pelajar yang akan menerima manfaat.
Skim Internet Selangor kategori M40 adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang telah diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar dalam Pakej Kita Selangor 2.0 untuk membantu golongan M40 yang memerlukan capaian internet stabil (High Speed Internet Broadband) dan dengan kos yang lebih rendah dari pasaran melalui rebat yang diberikan (subsidi oleh pihak Kerajaan Negeri melalui MBI).
Skim ini khas hanya untuk rakyat Selangor, dan yang pertama melibatkan kategori M40. Bukan sahaja inisiatif pertama bagi golongan M40 di Selangor malah inisiatif in melibatkan utility internet pertama di Malayisa.