Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
131) INTERNET DAN TALIAN KOMUNIKASI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menaik taraf dan memperkasakan jaringan internet dan liputan talian komunikasi di kawasan luar bandar?
Bagi merancakkan lagi pembangunan infrastruktur digital luar bandar, Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd, akan menaiktaraf rangkaian Internet di 95 buah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di seluruh daerah Negeri Selangor. Pemilihan PPAS dibuat atas faktor lokasinya dikawasan pedalaman yang akan dijadikan hub rangkaian pada kawasan sekitarnya.
Untuk permulaan, 15 PPAS desa di Sabak Bernam (Fasa 1) yang siap pada awal tahun 2023 telah pun mempunyai infrastruktur fiber yang membolehkan pengunjung perpustakaan dapat menikmati perkhidmatan internet berkelajuan tinggi sehingga 50Mbps dan boleh dipertingkatkan lagi sehingga 500Mbps pada masa akan datang. Bagi Fasa 2, pelaksanaan sebanyak 30 PPAS Desa disasarkan siap pada akhir tahun 2024. Manakala bagi Fasa 3 pula, 50 PPAS Desa akan dilaksanakan pada tahun 2025.
Rangkaian Internet ini akan diperluaskan lagi secara berperingkat di daerah Hulu Bernam dan daerah lain, mengikut program dan inisiatif didalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang memfokuskan kepada transformasi teknologi.
Bagi liputan telekomunikasi pula, Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd dan Koridior Utiliti Selangor (KUSEL) akan memantau dan mendapatkan maklum balas pihak Digital Nasional Berhad (DNB) didalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi 5G di Negeri Selangor supaya sasaran 100% liputan 5G di kawasan berpenduduk dapat dicapai menjelang akhir tahun 2025.
-
Berapakah dana yang diperuntukkan untuk menaik taraf dan memperkasakan jaringan internet dan talian komunikasi di kawasan Batang Kali?
Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd selaku pelaksana infrastruktur digital telah menyediakan dan membuat pemasangan WiFi Smart Selangor dilebih 73 premis berkaitan pendidikan, keagaamaan dan juga lokasi tumpuan awam dengan peruntukan lebih RM1.20 juta di Hulu Selangor. Mengikut data terkini sehingga Oktober 2023, hampir 59,000 pengguna telah mendapat manfaat dari inisiatif Iltizam Selangor Penyayang dengan data muat turun sebanyak 821GB setiap bulan. Inisiatif ini akan ditambah baik supaya tumpuan dan penambahan akses point difokuskan di kawasan yang masih belum mendapat kemudahan internet percuma di Batang Kali.
Bagi liputan talian telekomunikasi, sebanyak 436 buah struktur pemancar baru telah dibina di pelbagai lokasi di Negeri Selangor yang tidak mendapat liputan komunikasi manakala 39 buah struktur masih dalam pelaksanaan. Bagi DUN Batang Kali, terdapat 150 struktur telekomunikasi 4G sedia ada, manakala bagi struktur telekomunikasi 5G, terdapat 35 buah struktur pemancar sedia ada dan 7 dalam pelaksanaan. Dijangkakan dengan liputan 5G yang akan mencapai 96.3% bagi kawasan berpenduduk di seluruh negeri Selangor pada akhir tahun 2023, ianya akan menambah baik kadar liputan mudah alih dan jalur lebar secara keseluruhan dan termasuklah di Batang Kali.