Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
182) INTERNET DAN KEMUDAHAN PEMANCAR TELCO
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah kerajaan untuk memastikan Batang Kali dan Hulu Selangor mempunyai jaringan internet dan komunikasi yang stabil?
Kerajaan Negeri Selangor melalui SMARTSEL Sdn Bhd, sedang mengadakan perbincangan bersama pihak telekomunikasi bagi satu usahasama strategik di dalam penggunaan infrastruktur gentian optik yang dijangka mampu memperluaskan jaringan internet di kawasan-kawasan pedalaman sepertimana yang dilakukan sebelum ini bagi projek Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Bagi Fasa 1 projek ini, sebanyak 15 buah perpustakaan desa dinaik taraf dengan rangkaian kabel gentian optik bagi kelajuan internet berkapasiti tinggi.
Secara keseluruhannya, dari segi kemudahan rangkaian jalur lebar di DUN Batang Kali, sebanyak 37,733 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik melalui penaiktarafan sebanyak 246 buah stesen pemancar.
Selain itu, semakan bersama SKMM melalui Pelan JENDELA, bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor, sebanyak 31 menara baharu telah dirancang di mana pada waktu ini, sebanyak 23 menara baharu telah siap beroperasi manakala baki lapan (8) menara sedang dalam pelaksanaan. Menara telekomunikasi ini merangkumi kawasan-kawasan DUN dibawah Parlimen Hulu Selangor iaitu DUN Batang Kali. Daripada jumlah yang disebut, 10 menara baharu telah siap beroperasi dan tiga (3) menara lagi dalam pelaksanaan bagi penambahbaikan liputan telekomunikasi sedia ada.
Namun, sekiranya penduduk setempat mengalami isu perkhidmatan internet, maklum balas dan aduan kepada pihak pemberi perkhidmatan secara terus adalah amat diperlukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya boleh diambil. Sebarang aduan juga boleh disalurkan terus kepada pemberi perkhidmatan atau portal aduan MCMC menerusi pautan laman sesawang di https://aduan.mcmc.gov.my.
-
Apakah kaedah kerajaan untuk memastikan Syarikat Telco yang memasang Pencawang Komunikasi mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan?
Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan “Garis Panduan Perancangan Menara dan Struktur Sistem Pemancar Komunikasi Di Negeri Selangor 2019” yang memastikan pematuhan terhadap peraturan dan piawaian. Garis panduan ini telah diluluskan dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020. Selain itu, “Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor” juga telah dikeluarkan bagi membantu syarikat Telekomunikasi ini mengikut panduan yang relevan di dalam pemasangan pencawang komunikasi. Syarikat yang tidak mematuhi piawaian boleh diambil tindakan melalui denda kewangan atau penarikan lesen operasi. Melalui Pihak Berkuasa Tempatan, pemantauan dan semakan pematuhan akan dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan pemasangan ini mengikut standard yang diberikan.