Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

328) INTEGRITI PENJAWAT AWAM

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik berkaitan penjawat awam yang terlibat dalam salah laku atau pelanggaran integriti.

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, di Negeri Selangor terdapat sebanyak 44 Unit Integriti di setiap Jabatan/Agensi termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan – Jabatan Kerajaan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Badan – Badan Berkanun Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pada setiap suku tahun, Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan (UI PSUK) Negeri Selangor selaku urus setia induk bagi memantau keseluruhan kes-kes tatatertib yang dilaporkan oleh Jabatan/Agensi di Negeri Selangor akan mengumpul dan menyelaras data berhubung kes-kes salah laku penjawat awam daripada setiap jabatan. Daripada data tersebut, sebanyak 177 kes tatatertibtelah direkod secara keseluruhannya sepanjang tempoh tiga (3) tahun sejak tahun 2022 hingga 2024.  Berikut adalah statistik yang direkod bagi kes – kes penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib dari tahun 2022 hingga 2024 mengikut pecahan Jabatan/Agensi seperti Jadual 1 dibawah:

     

    Jadual 1:       Statistik Penjawat Awam yang dikenakan Tindakan tatatertib oleh Pihak Berkuasa Tatatertib

    TAHUN STATISTIK PENJAWAT AWAM YANG DIKENAKAN TINDAKAN TATATERTIB OLEH PIHAK BERKUASA TATATERTIB
    PSUK PDT PBT BBN JAB
    2022 0 2 28 0 9
    2023 1 2 28 0 38
    2024 1 2 39 3 24
    JUMLAH 2 6 95 3 71

    Berdasarkan statistik di atas, pelbagai kesalahan pelanggaran peraturan telah dikenalpasti. Antara kesalahannya adalah seperti berikut :

    1. Tidak hadir bertugas;
    2. Tatakelakuan dan larangan;
    3. Rasuah;
    4. Penyalahgunaan dadah; dan
    5. Kes Mahkamah Jenayah.

    Berdasarkan kesalahan tersebut dan di bawah peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan & Tatatertib) 1995 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993, jenis hukuman yang dikenakan adalah seperti Jadual 2 dibawah:

     

    Jadual 2:       Jenis-Jenis Hukuman Yang Telah Dijatuhkan Oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Mengikut Tahun

    JENIS-JENIS HUKUMAN YANG TELAH DIJATUHKAN OLEH PIHAK BERKUASA TATATERTIB MENGIKUT TAHUN
    TAHUN 2022 2023 2024
    Amaran 25 39 50
    Denda 3 8 5
    Lucut Hak Emolumen 4 8 12
    Tangguh Pergerakan Gaji 7 12 30
    Turun Gaji 1 7 16
    Turun Pangkat 2 2 1
    Buang Kerja 9 25 16
    JUMLAH 51 101 130

    * Hukuman yang dijatuhkan bagi setiap kes adalah bergantung kepada keputusan Lembaga Tatatertib dan pegawai boleh dikenakan lebih dari satu, atau kombinasi dua, atau lebih hukuman jika didapati bersalah

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri Selangor meningkatkan tahap integriti dalam kalangan penjawat awam?

    Seperti Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Unit Integriti adalah sebuah unit yang ditubuhkan dalam setiap agensi Kerajaan Negeri bagi memastikan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam. Penubuhan unit ini adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Versi 1.0 (2022) di ceraian SP.2.1, yang menetapkan setiap agensi sektor awam menubuhkan Unit Integriti sebagai pusat sehenti dalam menguruskan hal-hal berkaitan integriti, salah laku dan pematuhan etika kerja. Setiap penubuhan Unit Integriti adalah bersandarkan kepada enam (6) teras utama iaitu Tadbir Urus, Pengesahan dan Pengesanan, Pengukuhan Integriti, Tatatertib, Pematuhan, Pengurusan aduan.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha mengorak langkah dalam mengurangkan statistik kes tatatertib di setiap jabatan mahupun agensi dan pada masa yang sama meningkatkan tahap integriti dalam kalangan penjawat awam.

    Antara pendekatan yang telah diambil dan dijadikan sebagai program tahunan Unit Integriti adalah seperti berikut :

    1. Penganjuran Bengkel Tatatertib

    Bertujuan memberikan pemahaman sepenuhnya kepada kakitangan Unit Integriti berkenaan pengurusan dan aspek perundangan dalam mengendalikan kes-kes tatatertib di Jabatan/Agensi masing-masing;

          2. Pelaksanaan Taklimat Tatatertib Kepada Ketua – Ketua Jabatan

    Bertujuan memperkukuhkan pengetahuan dalam menilai tahap integriti pegawai bawahannya berdasarkan peraturan semasa yang berkuatkuasa;

          3. Program / Seminar dan Ceramah Integriti Penjawat Awam

    Bertujuan untuk memberi pemahaman dan kesedaran kepada penjawat awam dalam pengurusan tatakelola yang baik; dan

          4. Hebahan Pesanan Tatatertib dan Mutiara Kata

    Hebahan melalui e-mel kepada semua penjawat awam melalui setiap jabatan pada setiap tahun.

    Dengan inisiatif sebegini, statistik anggota penjawat awam yang melanggar peraturan sedikit sebanyak dapat dikurangkan sekaligus menerapkan nilai – nilai integriti dalam diri mereka bagi mencapai tatakelola yang berkesan serta Peraturan – Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan & Tatatertib) 1995 dapat dipatuhi dan difahami sebaiknya. Kerajaan Negeri berusaha untuk memperbanyakkan pelaksanaan program/aktiviti seperti ini bagi mencapai objektif penubuhan Unit Integriti.

Lampiran

Tiada Lampiran.