Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
107) INSURANS BAGI ATLET NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah nilai maksima insurans berkelompok bagi atlet-atlet di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor?
Majlis Sukan Negeri Selangor ada menyediakan insurans berkelompok kepada atlet – atlet Selangor di bawah Program Pelapis dan Elit (SUKMA). Nilai maksima insurans bagi atlet – atlet ini untuk tempoh tahun 2023 – 2024 adalah sebanyak RM 21.20 dan keseluruhan yang dibelanjakan oleh pihak Majlis untuk tempoh tahun 2023-2024 adalah sebanyak RM 9,518.80 untuk seramai 449 orang atlet. Insurans ini hanya memberi perlindungan untuk:-
- Kematian Akibat Kemalangan RM 20,000.00
- Hilang Upaya Kekal RM 20,000.00
- Perbelanjaan Perubatan RM 1,500.00
Selain itu juga, pihak Majlis telah mengambil inisiatif untuk mencarum kesemua atlet SUKMA 2024 termasuk atlet dalam senarai panjang (longlist) dalam PERKESO bagi kategori Skim Pekerjaan Sendiri Kategori Sukan 2.0 (SPS 2.0) bermula tahun 2024 ini. Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak 90% kepada PERKESO untuk kategori ini. Pihak Majlis hanya membayar sebanyak 10% sahaja iaitu RM23.30 seorang. Antara faedah dan manfaat bagi caruman dibawah kategori (SPS Sukan 2.0) yang ditawarkan oleh pihak PERKESO adalah seperti berikut:
- Hilang Upaya Kekal (20%)
- RM 79,329.00 (Bayaran Pukal)
- Hilang Upaya Kekal (100%)
- RM 79,329.00 ( Bayaran Pukal)
- Pencen Berkala RM 1,116.00 (Sebulan)
2. Faedah Perubatan
- Pencarum boleh menuntut bayaran ganti belanja kos rawatan kepada PERKESO tertakluk kepada syarat PERKESO atau akta Fi 1951.
-
Apakah rancangan penambahbaikan untuk meningkatkan liputan insurans bagi sukan berisiko tinggi?
Pihak Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor akan menambahbaik liputan insurans untuk sukan – sukan yang berisiko tinggi mendapat kecederaan yang serius seperti sukan kombat dan sukan ragbi yang sering mengalami kecederaan seperti patah tulang dan tisu koyak yang kritikal.
Antara penambahbaikan yang dirancang adalah dengan membeli insurans dengan kadar yang tinggi untuk sukan – sukan yang berisiko tinggi ini secara berkelompok. Selain itu juga, pihak Majlis juga menggalakkan kesemua atlet Negeri Selangor mempunyai insurans sendiri agar ianya tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak Majlis.
Penambahbaikan yang lain adalah pihak Majlis juga sentiasa memastikan kecergasan atlet sentiasa di tahap yang terbaik sebagai langkah pencegahan atau pengurangan risiko mendapat kecederaan yang serius sebelum bersedia untuk bertanding di sebarang kejohanan.
-
Nyatakan langkah penambahbaikan ekosistem rawatan bagi atlet (contohnya, fisioterapi, pusat-pusat rawatan, pembedahan dan lain-lain).
Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa peka dengan kebajikan atlet terutamanya dalam aspek perubatan. Untuk memastikan atlet – atlet ini sentiasa dalam tahap yang terbaik, pihak Majlis merancang beberapa penambahbaikan ekosistem rawatan bagi atlet ini.
Antara penambahbaikan ekosistem rawatan ini adalah dengan menambah peralatan fisioterapi yang berteknologi terkini yang dapat mempercepatkan kadar masa pemulihan. Selain itu juga, pihak Majlis merancang untuk bekerjasama dengan mana – mana pusat fisioterapi yang berada di daerah yang agak jauh untuk ke Shah Alam bagi memudahkan rawatan kepada atlet – atlet yang berada di daerah tersebut.
Program – program pencegahan kecederaan juga akan kerap didedahkan kepada semua jurulatih dan atlet terutamanya di Program Bakat di daerah – daerah.
Pihak Majlis juga telah bekerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan luar seperti pihak Institut Sukan Negara, Management Science University (MSU) dan beberapa Hospital Kerajaan untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pembedahan kecederaan sukan. Pihak Majlis sedang merancang beberapa program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan agensi – agensi ini bagi memantapkan lagi ekosistem rawatan bagi atlet – atlet di Selangor ini.