Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
181) INSTITUT WANITA BERDAYA UNTUK EKONOMI BERKEMAHIRAN
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi Institut Wanita Berdaya bagi mencapai penglibatan wanita yang lebih besar dalam sektor ekonomi berkemahiran?
Kerajaan Negeri melalui Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah merangka beberapa cadangan program, aktiviti dan penyelidikan untuk dilaksanakan bagi menjayakan misi pemberdayaan wanita.
IWB turut menggariskan beberapa usaha dan strategi yang dapat melibatkan golongan wanita ini untuk berperanan lebih besar dalam sektor ekonomi berkemahiran seperti menjalankan program-program pembangunan kapasiti yang selari dengan keperluan setiap pekerjaan yang ada pada masa kini.
Selain daripada itu, program-program dan aktiviti-aktiviti seperti penganjuran seminar-seminar yang berbentuk pengetahuan turut dirangka untuk dijayakan agar golongan wanita terus positif di dalam menceburi bidang pekerjaan sedia ada melalui ‘Lifelong Learning’.
Pihak IWB juga sedang dalam tindakan penganjuran sebuah seminar Keseimbangan Hidup Berkerjaya yang bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan wanita yang bekerja dan memberi bantuan penyelesaian dengan mengadakan Projek Perintis Keseimbangan Hidup Berkerjaya di peringkat Kerajaan Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri melalui IWB juga akan menubuhkan sebuah projek perintis koperasi milik wanita iaitu Koperasi Wanita Negeri Selangor yang akan diterajui dan dianggotai oleh kaum wanita yang bakal membuka peluang kepada perniagaan yang berteraskan masyarakat.
Melalui penubuhan koperasi ini, golongan wanita seperti suri rumah dapat dibantu secara terus melalui manfaat perusahaan koperasi berasaskan perkhidmatan yang akan direncanakan kelak selain turut membantu golongan wanita yang tidak bekerja untuk menceburi bidang perniagaan.
Walaupun tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang keusahawanan, melalui Koperasi Wanita Negeri Selangor, wanita-wanita ini akan diberi tunjuk ajar agar mereka mampu membina dan membangun kapasiti diri.
Pihak IWB turut mengenal pasti bidang-bidang yang bersesuaian dan mesra wanita untuk dipelopori iaitu caregiver industry seperti pusat penjagaan post- natal, orang tua, dan pendidikan kanak-kanak istimewa.
Selain itu, IWB juga akan memperkenalkan perniagaan baru yang dapat menjana pendapatan dan mengangkat status ekonomi wanita seperti program “Organic Farmville School”.