Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

29) INSTITUT WANITA BERDAYA (IWD)

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bagaimanakah RM9 juta yang diperuntukkan untuk memberdaya kaum wanita telah digunakan?

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan komited dengan pembangunan wanita Selangor. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM9,000,000.00 untuk digunakan bagi melaksanakan program-program pembangunan wanita melalui Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor. Antara program-program pembangunan wanita yang telah dirangka untuk dimanfaatkan oleh wanita di Selangor melalui IWB adalah seperti berikut:

    (1)Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020;

    (2) Geran Penyelidikan;

    (3)Program Perlindungan Kanak-Kanak Negeri Selangor;

    (4)Skim Bantuan Guaman Wanita Selangor;

    (5)Pusat Khidmat Kaunseling Wanita dan Keluarga (Pusat Santunan Harmoni);

    (6)Koperasi Wanita Selangor;

    (7)Persidangan Kebangsaan Gender dan Reformasi Pilihanraya;

    (8)Modul Keluarga Harmoni Selangor;

    (9)Program Kesedaran Gender;

    (10)Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya dan Produk Perintis WLB (Work Life Balance);

    (11)Program Pembelajaran Sepanjang Hayat;

    (12)Penerbitan Komik Hormat Wanita Negeri Selangor.

    (13)Projek Perintis Penubuhan Pusat Penjagaan Ibu Selepas Bersalin;

    (14)Program Pertanian Organik, Farmville;

    (15)Program-program Pemantapan Pengurusan PWB;

    (16)Seminar Pendidikan dan Latihan Anak Istimewa; dan

    (17)Buku Wanita Berdaya.

  2. Senaraikan pencapaian-pencapaian konkrit daripada perbelanjaan di (a).

    Pencapaian-pencapaian daripada perbelanjaan yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program-program pembangunan wanita oleh IWB Selangor ini adalah bertujuan bagi menggalakkan kerangka pembangunan yang sensitif gender melalui pembangunan dan pelaksanaan strategi-strategi pengarusperdanaan gender di peringkat dasar dan perancangan kerajaan negeri dan tempatan.

    Selain daripada itu, pelaksanaan program-program pemberdayaan wanita ini dapat meningkatkan status sosio-ekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir. Seterusnya adalah ianya dapat merapatkan jurang gender di semua peringkat dan aspek pasaran buruh selain turut membantu dalam mempercepatkan perwakilan dan pembuatan keputusan wanita dalam kehidupan awam dan politik. Isu kesihatan dan kesejahteraan wanita turut dapat ditingkatkan melalui pelaksanaan program-program oleh IWB dan akhir sekali ianya dapat menyerlahkan bakat kreatif dan inovasi wanita.

  3. Senaraikan semua perbelanjaan yang lebih daripada RM100 ribu serta pembekal-pembekal (supplier) servis/barangan dan sama ada mereka dilantik secara tender terbuka.

    Sebagai makluman, peruntukan yang disalurkan kepada IWB untuk pelaksanaan program-program pemberdayaan wanita buat masa ini tidak melibatkan perbelanjaan yang melebihi RM100,000.00 dan tiada sebarang pembekal servis/barangan terlibat dengan lantikan secara tender terbuka.

Lampiran

Tiada Lampiran.