Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
266) Institut Wanita Berdaya
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Siapakah yang memiliki IWB?
Untuk makluman, Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor telah ditubuhkan oleh YB Dr Daroyah Alwi di dalam kapasiti beliau ketika itu selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor di mana IWB Consultancy telah dilantik sebagai peneraju IWB Selangor.
-
Siapakah ahli lembaga pengarah IWB?
Pada bulan Julai 2020, YB Dr Siti Mariah Mahmud telah dilantik sebagai salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah IWB Selangor. Sehubungan itu, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah di IWB Selangor pada ketika ini adalah seperti berikut:
- YB Dr Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga
- YB Puan Lee Kee Hiong, Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu
- YB Puan Haniza Mohamed Talha, Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya
- YB Dr Daroyah Alwi, Ahli Dewan Negeri Sementa
- Puan Rawiyiah Zakariah, Ahli Majlis Perbandaran Kajang
- Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, Ketua Pegawai Eksekutif IWB (Turut hadir)
Sebagai makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Portfolio Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor sedang melalui satu proses konsolidasi dan penyusunan semula bagi menambah baik struktur dan kerjasama pelbagai agensi dan ini juga adalah termasuk dengan IWB Selangor.
-
Apakah KPI Kerajaan Negeri untuk IWB untuk tahun 2020?
Kerajaan Negeri untuk tahun 2020 melalui IWB telah mensasarkan KPI berdasarkan matlamat yang terkandung dalam Dasar Wanita Selangor. Berikut merupakan ringkasan KPI bagi setiap Matlamat tersebut:
Matlamat 1 : Pelaksanaan Projek Pengarusperdaaan Gender (GM) di Selangor dengan pelantikan Pegawai Titik Tumpuan Gender (GFP) dan Kumpulan Tumpuan Gender (GFT), Bengkel Latihan Gender kepada GFP dan GFT, Audit Gender dan perangkaan Pelan Tindakan Gender bagi jabatan-jabatan perintis.
Matlamat 2 : Program Wanita dalam Perniagaan serta penyelidikan berkaitan ciri-ciri, lokasi dan keperluan wanita terpinggir.
Matlamat 3 : Penyelidikan serta Program Biasiswa Pembelajaran Sepanjang Hayat yang kini dikenali sebagai Biasiswa Wanita Berdaya Selangor bagi memberi peluang kepada pemimpin wanita akar umbi melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dengan tujuan meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kepimpinan mereka.
Matlamat 4 : Penyelidikan dan Bengkel Latihan Jaringan global kepimpinan wanita IWB dan Sasakawa Foundation.
Matlamat 5 : Penyelidikan serta Kempen Sayangi Diri bagi menggalakkan penjagaan diri (self care) dalam kalangan wanita serta kesedaran dan pemahaman mengenai kesihatan mental kepada masyarakat awam.
Matlamat 6 : Kempen Keganasan Berasaskan Gender berdasarkan tema tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi 16 hari aktivisme menentang Keganasan Berasaskan Gender.
Matlamat 7 : Program Keusahawanan, Inovasi dan Bakat Kreatif, pembangunan kapasiti komuniti wanita untuk menjana pendapatan melalui inovasi dan bakat kreatif serta mengetengahkan wanita yang berjaya dalam bidang terbabit supaya dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.