Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
56) INSIDEN BANGUNAN RUNTUH Ð JAYA SUPERMARKET
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah laporan penuh mengenai insiden runtuhan?
Syarikat IKRAM Sdn Bhd sedang menyediakan laporan lengkap mengenai ‘probable cause of collapse’ / punca yang memungkinkan berlakunya keruntuhan bangunan Jaya Supermarket dan dijangka akan mengemukakan laporan tersebut dalam minggu pertama bulan Ogos 2009.
Secara makluman ringkas, Jaya Supermarket telah dirancang untuk dirobohkan sejak tahun 2007 bagi membangunkan satu bangunan 7 tingkat bersama-sama aras bawah aras perniagaan serta 3 tingkat tempat letak kereta bawah tanah. Pemaju telah mendapatkan kelulusan merancang pada pertengahan tahun 2007 dan telah mengemukakan untuk perobohan bangunan Jaya Supermarket sedia ada pada bulan Ogos 2007.
Walaupun begitu, aktiviti untuk perobohan bangunan ini hanya dimulakan setelah Borang B dikemukakan pada bulan Februari 2009 bagi “notis memulakan / penyambungan kerja bangunan”. Aktiviti yang dirancangkan hanya dimulakan sepenuhnya pada bulan April 2009. Pada 28 Mei 2009, berlakunya keruntuhan bangunan Jaya Supermarket.
-
Bagaimana Pihak Berkuasa Tempatan dapat mengelak perkara yang serupa daripada berlaku?
MBPJ sedang menyediakan draf garis panduan perobohan bangunan bagi seluruh PBT Selangor dan akan siap untuk diguna pakai tidak lama lagi. Draf garis panduan ini akan membantu dalam memberikan tatacara/prosedur yang lengkap untuk pengemukaan dokumentasi kepada PBT serta agensi-agensi yang terlibat bagi semua jenis perobohan bangunan. Garis panduan ini diharapkan akan menjadi satu rujukan yang dimestikan agar dapat mengelak daripada kes-kes keruntuhan bangunan yang tidak dirancang berlaku lagi.