Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

240) INSENTIF PENDIDIKAN TVET

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah jenis-jenis insentif pendidikan TVET yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi menggalakkan penyertaan awam bagi tahun 2023?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik penyertaan awam untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran (TVET). Antara insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri adalah:

     

    1. Menawarkan peluang latihan industri dan penempatan perantis bersama pemain industri yang ternama bagi pelajar di STDC seperti Daikin, Toyota, Boon Siew Honda, iMotorbike Malaysia dan GE Engineering and Services yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri.
    2. Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) merupakan bantuan yuran asas berjumlah RM500 yang diberikan kepada setiap pelajar yang layak pada setiap semester bagi setiap tahun pengajian. Bantuan ini diperuntukkan khas kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Selangor iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS).
    3. Pelajar yang melanjutkan pelajaran di universiti awam boleh memohon bantuan pendidikan lain yang turut disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti bantuan Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) dan Pinjaman Boleh Ubah (Dalam dan Luar Negeri) yang juga bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan menggalakkan anak Selangor menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
    4. Menyediakan pembiayaan bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar daripada kategori B40 dan M40 melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran TVET termasuk program khas Tahfiz dan Anak Yatim di bawah kendalian YIDE.
  2. Ramai manakah belia yang menyambutnya?

    Direkodkan bagi tempoh 2020 sehingga 2023, demografi umur bagi kemasukan ke program STDC adalah:

     

    S E S I      K E M A S U K A N

    Bil PECAHAN UMUR 2020 2021 2022 2023 JUMLAH
    1 15-20 tahun 232 85 243 373 933
    2 21-25 tahun 36 28 41 54 159
    3 26 tahun ke atas 2 3 13 4 22
    JUMLAH  270 116 297 431 1114
  3. Berapakah peruntukan yang tidak digunakan?

    Direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2024, purata peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi program IKTISASS adalah RM16,000,000.00 setahun. Pada keseluruhannya, prestasi perbelanjaan adalah 91.5 peratus merangkumi pembangunan infrastruktur dan peralatan, kerjasama pemindahan teknologi, pembangunan modul dan silibus, program jaringan kerjasama institusi dan industri antarabangsa, dan penajaan kemasukan pelajar ke bidang pegajian TVET di institusi di bawah Kerajaan Negeri Selangor iaitu STDC, UNISEL dan UIS.

Lampiran

Tiada Lampiran.