Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
264) INSENTIF PEMILIK TANAH KAMPUNG TRADISI PINGGIRAN BANDAR MENUKAR STATUS DARI PERTANIAN KE PEMBANGUNAN
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Dengan proses perbandaran(urbanization), apakah langkah kerajaan Selangor untuk membantu pemilik tanah di kampung bagi tujuan di atas?
Kerajaan Negeri mengambil maklum berkenaan masalah pemilik tanah di kampung tradisi seluruh Selangor. Antara masalah yang dihadapi oleh pemilik tanah kampung tradisi adalah seperti:
- Susah mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) keranan bangunan telah didirikan terlebih dahulu dan bangunan tersebut tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan; dan
- Sukar mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana tiada KM.
Kerajaan Negeri juga mengambil maklum bahawa pemilik-pemilik tanah kampung tradisi terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang sukar untuk menjelaskan premium tambahan yang tinggi mengikut nilaian pasaran. Dengan mengambil kira masalah-masalah rakyat, Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar penubuhan Program Pemutihan Kampung Tradisi (PPKT) di Negeri Selangor.
Dalam PPKT, beberapa insentif telah dicadangkan untuk mengatasi masalahmasalah tersebut. Cadangan insentif tersebut adalah seperti berikut:
- Pengurangan premium tambahan bagi permohonan penukaran syarat nyata tanah di kampung tradisi; dan
- Melonggarkan syarat-syarat untuk kelulusan KM berdasarkan kepada bangunan yang telah sedia ada dibina di atas tanah kampung tradisi.
Kerajaan Negeri menjangkakan program ini dapat dilaksanakan pada awal tahun 2018 setelah segala perincian dan strategi terbaik diambil kira dapat diselaraskan. Diharapkan, dengan adanya program tersebut dapat meringankan beban kewangan kepada rakyat Selangor khususnya pemilik tanah kampung tradisi. Kewujudan program tersebut menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri ke atas permasalahan rakyat selaras dengan Program Inisiatif Peduli Rakyat (SmartSelangor).
-
Berapakah jumlah premis perniagaan di kampung yang tidak dapat bantuan pinjaman termasuk SKIM HIJRAH kerana PBT tidak luluskan lesen kerana atas tanah pertanian
Majlis Perbandaran Klang mengadakan program lesen kawasan baru khusus bagi premis – premis perniagaan yang berada di luar bandar bagi tujuan memudahkan pemilik – pemilik premis perniagaan di luar bandar memohon lesen. Melalui program yang telah dijalankan sejak tahun 2007 hingga kini terdapat lebih dari 700 premis telah dilesenkan oleh pihak Majlis.