Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

29) INSENTIF PELANCONGAN DI KUALA LANGAT

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah insentif yang boleh dipohon oleh mereka yang berminat untuk menceburi dunia bidang pelancongan khususnya eko-pelancongan yang semakin menarik minat anak-anak muda di daerah Kuala Langat?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri sentiasa menyokong penglibatan rakyat setempat di dalam industri pelancongan. Pelbagai usaha dan kaedah sokongan dan bantuan diberikan oleh Kerajaan  Negeri dalam membantu pengusaha dan penggiat industri pelancongan negeri membina perniagaan dan menambah pendapatan.

    Antara bantuan dan sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah dari segi bantuan promosi produk dan tempat-tempat pelancongan yang berpotensi melalui Tourism Selangor serta penglibatan secara langsung atau tidak langsung pengusaha dan penggiat pelancongan ini di dalam program-program dan acara pelancongan yang diadakan di kawasan setempat.

    Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan satu program khas dikenali ‘Hos Komuniti Pelancongan’ sebagai persediaan menanti kehadiran pelancong asing dan tempatan ke negeri ini. Buat masa ini, seramai 20 peserta di setiap tiga daerah membabitkan daerah Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah dipilih untuk menyertai program Hos Komuniti ini.

    Peserta-peserta dipilih melalui sesi temu duga yang dibuat di setiap PBT yang terlibat dan kini mereka akan didedahkan dengan modul asas pemanduan pelancong sepanjang enam bulan menjalani program terbabit. Keutamaan peserta diberikan kepada anak jati Selangor serta yang menetap dan bermastautin selama lebih 10 tahun. Peserta yang berjaya menjalani latihan akan menerima sijil yang diiktiraf Kementerian Pelancongan Malaysia.

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri merancang untuk mengembangkan peluang latihan ini ke semua daerah-daerah lain termasuklah Daerah Kuala Langat selepas kajian impak keberhasilan program ini dilaksanakan apabila peserta-peserta yang sedang mendapatkan latihan ini selesai menjalani latihan.

    Walau bagaimanapun, suka ditekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri khususnya di bawah Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri tidak memberikan bantuan berbentuk bantuan kewangan secara langsung kepada pengusaha atau penggiat pelancongan. Namun demikian, anak-anak muda atau sesiapa sahaja yang berminat dalam menceburi industri pelancongan boleh mendapatkan bantuan Kerajaan Negeri melalui HIJRAH Selangor di bawah jenis perniagaan sektor perkhidmatan atau mana-mana sektor yang bersesuaian.

    Pada masa yang sama, anak-anak muda di Kuala Langat boleh merujuk insentif- insentif yang disediakan oleh Kementerian Pertanian Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia untuk membangunkan program inap desa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.