Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

59) INSENTIF PELAJARAN IPT

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sehingga kini berapa jumlah wang sudah dikeluarkan kepada pelajar IPTA dan berapa jumlah kepada pelajar IPTS?

    Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) merupakan Urus Setia yang
    bertanggungjawab untuk menguruskan proses pelaksanaan Dasar Baru Kerajaan
    Negeri berkaitan permohonan Hadiah Pengajian IPT, berdasarkan keputusan Majlis
    Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 15/2008 yang bersidang pada 11 Jun 2008.
    Sehubungan itu, BPSM telah melaksanakan proses permohonan tersebut berpandukan
    syarat-syarat kelayakan yang telah dipersetujui oleh MMKN seperti berikut:
    (i) Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja;
    (ii) Pemohon juga merupakan Rakyat DYMM Sultan Selangor yang
    memenuhi kriteria seperti berikut:
    (a) Pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
    (b) Ibu atau Bapa pemohon lahir di Negeri Selangor; atau
    (c) Pemohon lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974;
    (iii) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk memasuki Tahun Pertama
    (Semester Pertama) mulai Julai 2008 (sesi pengajian 2008/2009) sahaja;
    (iv) Pemohon telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian secara
    sepenuh masa (full-time courses) di IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh
    Kerajaan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana muda dan Diploma
    sahaja;
    (v) Pemohon telah pun mendaftarkan diri di IPT bagi memulakan sesi
    pengajian; dan
    (vi) Pemohon daripada keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.
    Dasar Baru Hadiah Pengajian IPT ini telah mula dilaksanakan berkuat kuasa pada 1
    Julai 2008 yang lalu. Setakat 30 September 2008, BPSM telah menerima sebanyak
    3,784 permohonan daripada pelajar untuk mendapatkan insentif berjumlah RM1,000
    sepertimana yang ditawarkan.
    Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 2,725 permohonan didapati layak
    untuk dipertimbangkan (jumlah keseluruhan bagi pelajar IPTA dan IPTS) bagi
    menerima insentif tersebut. Setakat ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kos
    berjumlah RM2.454 juta (telah dibayar kepada pelajar) bagi membiayai program dasar
    baru tersebut.

  2. Sila beri jumlah peruntukan mengikut universiti?

    Permohonan Hadiah Pengajian IPT ini adalah terbuka untuk semua pelajar yang
    mengikuti pengajian di mana-mana IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan di
    peringkat Ijazah Sarjana muda dan Diploma sahaja, tanpa dihadkan peruntukan
    tertentu bagi sesebuah IPT. Sehubungan itu, permohonan akan dipertimbangkan
    berdasarkan syarat-syarat kelayakan seperti yang dinyatakan.
    Setakat 30 September 2008, terdapat sebanyak 2,725 permohonan yang layak
    dipertimbangkan melibatkan pelajar daripada 167 buah IPT.

  3. Sila beri jumlah peruntukan mengikut kaum?

    Permohonan Hadiah Pengajian IPT ini adalah terbuka untuk semua pelajar tanpa
    mengira kaum. Sehubungan itu, permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan
    syarat-syarat kelayakan seperti yang dinyatakan.
    Setakat 30 September 2008, terdapat sebanyak 2,725 permohonan yang layak
    dipertimbangkan. Secara keseluruhannya, jumlah permohonan yang berjaya mengikut
    kaum adalah seperti berikut:
    Bil. Kaum Bilangan Jumlah Peruntukan
    1. Melayu 2,107 RM2,107,000.00
    2. Cina 466 RM466,000.00
    3. India 150 RM150,000.00
    4. Lain-lain 2 RM2,000.00
    JUMLAH KESELURUHAN 2,725 RM2,725,000.00

Lampiran

Tiada Lampiran.