Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
354) INSENTIF KERAJAAN NEGERI BAGI PEMBANGUNAN KEDIAMAN MAMPU MILIK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah dasar serta insentif terbaharu Kerajaan Negeri bagi menggalakkan lebih banyak pemaju terlibat sama bagi membangunkan kediaman mampu milik ?
Untuk makluman Yang Berhormat, dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai dasar serta insentif bagi menggalakkan lebih banyak pemaju terlibat untuk membangunkan kediaman mampu milik khususnya Rumah Selangorku.
Antaranya insentif galakan yang disediakan adalah melalui Dasar Rumah Selangorku 3.0 yang berkonsepkan penghapusan subsidi silang dalam pembinaan Rumah Selangorku dengan menaikkan harga jualan Rumah Selangorku bermula RM114,750.00 seunit berbanding harga dahulu RM42,000.00. Konsep ini dapat memberi kelegaan kepada pemaju untuk membina Rumah Selangorku tanpa bergantung kepada hasil jualan Rumah Harga Bebas mereka terdahulu. Selain itu, pemaju dapat mengawal serta merancang aliran tunai mereka dengan baik dan sistematik.
Insentif yang kedua pula adalah pengecualian Caj Pemajuan. Kerajaan Negeri melalui mesyuarat MMKN Ke 30/2024 pada 24 Oktober 2024 telah bersetuju untuk mengecualikan 100 peratus bayaran Caj Pemajuan kepada pemaju perumahan yang melaksanakan pemajuan rumah mampu milik. Pengecualian ini dijadikan insentif kekal dan tidak bertempoh. Insentif ini akan dapat mengurangkan lagi kos pembinaan rumah mampu milik dan sebagai galakan untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.
Insentif yang terkini adalah dengan memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI Negeri Selangor yang telah diluluskan di dalam mesyuarat MMKN Ke 31/2024 bertarikh 30 Oktober 2024 pula dijangka juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pemaju-pemaju kerana ianya membenarkan pindaan komponen daripada Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Serhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana yang harga jualannya bermula dari RM42,000.00 kepada RM250,000.00. Dengan pindaan komponen ini, ianya juga dapat meningkatkan margin keuntungan kepada aliran tunai pemaju.