Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

20) INSENTIF DAN STRATEGI KERAJAAN NEGERI UNTUK MENJAMIN KEBERDAYAAN HOMESTAY DALAM MENYOKONG TAHUN MELAWAT SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakan insentif dari Kerajaan Negeri bagi memastikan homestay-homestay yang tumbuh bagai cendawan akan terus berdaya saing dan lestari?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor  melalui Tourism Selangor (TSSB) ada menyediakan insentif berupa Geran Industri Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025) untuk menyemarak sektor pelancongan Negeri Selangor. Tujuan utama pemberian Geran Industri ini adalah untuk memastikan industri pelancongan Negeri Selangor terus berdaya saing menerusi sokongan kepada pihak swasta serta pemain industri di samping untuk mempromosi kempen TMS 2025.

    Selain itu, pemberian geran ini adalah bagi menyokong usaha untuk menyediakan infrastruktur pelancongan yang lebih baik dan membantu dalam penganjuran acara pelancongan yang dapat menarik pengunjung ke Negeri Selangor. Melalui pemberian Geran TMS 2025 Fasa 1 yang telah dilaksanakan bermula Disember 2024, sebanyak 20 buah pemain industri yang berdaftar dengan ROS dan MOTAC menerima peruntukan berjumlah RM10,000.00 bagi satu permohonan sebagai galakan bagi menyemarakkan kempen TMS 2025.

    Untuk membantu para pengusaha homestay memasarkan perkhidmatan, Kerajaan Negeri turut menyediakan platform digital untuk mempromosikan produk yang ditawarkan kepada pelancong menerusi media sosial rasmi pelancongan Negeri Selangor iaitu www.visitselangor2025.my dan discoverselangor.

  2. Apakah strategi lain dari kerajaan bagi memastikan homestay-homestay ini dapat membantu bagi menjayakan Tahun Melawat Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor turut melaksanakan pelbagai strategi lain untuk memastikan homestay-homestay di negeri ini memainkan peranan yang penting dalam menjayakan TMS 2025. Berikut adalah beberapa strategi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan industri homestay menyumbang kepada kejayaan TMS 2025:

    1. Kerajaan Negeri melalui pihak TSSB menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pelancongan dan pengusaha homestay untuk menawarkan pakej pelancongan yang lengkap dengan menggabungkan perkhidmatan homestay dengan destinasi pelancongan lain di Negeri Selangor. Misalnya, pelancong boleh menginap di homestay di Sabak Bernam sambil mengadakan lawatan ke kawasan pertanian dan agropelancongan. Dengan berbuat demikian, para pelancong dapat menikmati pengalaman percutian yang holistik sekaligus dapat mempromosikan perkhidmatan homestay sebagai penginapan pilihan yang menarik dalam kempen TMS 2025;
    2. Melibatkan pengusaha homestay dalam pameran pelancongan domestik seperti MATTA Fair bagi mempromosikan perkhidmatan penginapan yang ditawarkan kepada pengunjung pameran;
    3. Menjadikan perkhidmatan homestay lebih menarik dengan menawarkan pakej gabungan pengalaman kebudayaan tempatan yang unik seperti permainan tradisional, aktiviti kraf tangan memasak masakan tempatan dan merasai pengalaman kehidupan luar bandar; dan
    4. Melaksanakan acara-acara pelancongan yang menyokong kempen TMS 2025 di kawasan luar bandar seperti program Karnival Ban Canal yang dilaksanakan setiap tahun di daerah Sabak Bernam.

Lampiran

Tiada Lampiran.