Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
80) INSENTIF DAN PROMOSI PELANCONGAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah bentuk insentif yang diberikan kepada pengusaha sektor pelancongan di Negeri Selangor bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Selangor 2025?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan pelbagai insentif yang bertujuan untuk menyokong dan memperkasakan pengusaha sektor pelancongan bagi merancakkan kempen TMS 2025. Insentif-insentif ini direka untuk meningkatkan daya saing industri pelancongan di Negeri Selangor serta membantu pengusaha untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Berikut adalah beberapa bentuk insentif yang disediakan untuk pengusaha sektor pelancongan di Negeri Selangor:
- Geran Industri Pelancongan
Pengusaha yang memperkenalkan produk pelancongan yang berinovasi, kreatif dan menyokong kempen TMS 2025 ditawarkan geran khas untuk membantu membangunkan produk pelancongan yang boleh memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Negeri Selangor.
- Kempen Pemasaran Bersama
Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Agensi Pelancongan, Operator Produk Pelancongan dan pengusaha hotel serta resort di Negeri Selangor dalam menjalinkan kempen pemasaran bersama bagi mempromosikan produk dan destinasi pelancongan yang terlibat dalam TMS 2025 melalui platform digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor (TSSB).
- Penyertaan dalam Pameran Pelancongan
Para Pengusaha Pelancongan di Negeri Selangor diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam pameran dan ekspo pelancongan di dalam mahupun luar negara melalui pavillion booth Tourism Selangor. Melalui penyertaan dalam acara seperti MITT (Moscow International Travel and Tourism Exhibition) atau ITB Berlin, pengusaha pelancongan dapat memperkenalkan produk mereka kepada pelancong luar negara.
- Program Pemantauan dan Pengiktirafan Produk Pelancongan
Pengusaha sektor pelancongan yang mematuhi standard kualiti yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), diberikan sijil kualiti produk pelancongan bagi menambah kredibiliti perniagaan dan meningkatkan kepercayaan pelancong terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
- Anugerah Pelancongan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri melalui pihak TSSB turut merancang untuk menganjurkan program Anugerah Pelancongan Negeri Selangor bagi mengiktiraf pengusaha sektor pelancongan yang memberikan perkhidmatan terbaik serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan. Ini bertujuan memberi penghargaan kepada pengusaha yang berprestasi tinggi dan mendorong pihak tersebut untuk meningkatkan tahap perkhidmatan.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri yang telah dijalankan untuk meningkatkan promosi pelancongan khususnya di Kuala Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025?
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui TSSB untuk meningkatkan program promosi pelancongan di Daerah Kuala Selangor. Bermula dari tahun 2024 sebagai persediaan TMS 2025, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memperkenalkan Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan pelancong seperti berikut:
- Membawa agensi pelancongan dari dalam dan luar negara untuk siri FAM Trip bagi memperkenalkan produk-produk pelancongan di Daerah Kuala Selangor;
- Menjenamakan Kuala Selangor sebagai destinasi utama eko-pelancongan (tourism spot) dengan memanfaatkan sumber alam yang ada seperti Hutan Simpan Kuala Selangor, Taman Alam Kuala Selangor, Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Bukit Melawati, Pasir Penambang dan Sky Mirror;
- Membangunkan produk pelancongan berasaskan budaya dan warisan seperti Masjid Bukit Rotan, Masjid Raja Lumu dan Muzium Sejarah Kuala Selangor bagi menarik pengunjung yang berminat dengan sejarah tempatan dan warisan kebudayaan;
- Membangunkan pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor dengan memasukkan produk pelancongan di Daerah Kuala Selangor sebagai destinasi pelancongan.
- Memperkenalkan program khas pelancongan seperti Festival of Wings di Taman Alam Kuala Selangor dan sambutan Hari Kelip-Kelip di Kampung Kuantan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang akan menarik pelancong domestik dan antarabangsa;
- Melibatkan komuniti tempatan dalam memperkenalkan warisan budaya, masakan tradisional dan tradisi setempat yang menjadi tarikan pelancong melalui Program Hos Komuniti Setempat di Daerah Kuala Selangor;
- Menjadikan Kuala Selangor sebagai lokasi pengambaran bagi tujuan pembikinan drama, filem dan pengiklanan; dan
- Memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan di Kuala Selangor melalui media sosial rasmi pelancongan Kerajaan Negeri dan bekerjasama dengan pempengaruh pelancongan untuk menarik pelancong dan golongan muda untuk ke Daerah Kuala Selangor.