Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

251) INOVASI SEMAKAN DIGITAL PANTAS PENSIJILAN HALAL SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah penanda aras inovasi semakan digital pantas pensijilan halal Selangor sebagaimana yang disebut di dalam Belanjawan Selangor 2024?

    Inovasi semakan Digital Pantas Pensijilan Halal Selangor yang diperkenalkan dalam Belanjawan Selangor 2024 adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasakan industri halal negeri Selangor. Strategi ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan proses pensijilan halal dengan mengurangkan tempoh pemprosesan yang termasuk pembangunan Certificate Readiness Assessment (CRA) serta pendigitalan pangkalan data bahan dan ramuan halal.

    Pembangunan sistem ini dirancang untuk diintegrasi menggunakan Application Programming Interface (API) dengan SelGDX Negeri Selangor iaitu sebuah platform perkongsian data merentas agensi yang SELAMAT, CEPAT dan TEPAT. Integrasi ini melibatkan perkongsian data premis halal, makanan halal dan lain-lain berkaitan pengesahan sijil halal.

    Penanda aras Inovasi Semakan Digital Pantas Pensijilan Halal sebagaimana yang disebut di dalam Belanjawan Selangor 2024 adalah seperti berikut:

    1. Menyokong fungsi sistem MYeHALAL sedia ada;
    2. Kemudahan mengakses maklumat dan status terkini permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diproses;
    3. Pengiraan secara automatik tempoh masa bagi setiap peringkat proses pensijilan dan secara keseluruhan;
    4. Menjana laporan dan statistik secara automatik mengikut kategori maklumat yang diperlukan;
    5. Mempercepatkan proses audit lapangan dan permohonan pasca pensijilan;
    6. Mempercepatkan proses aduan dan siasatan;
    7. Tindakan penguatkuasaan secara cekap dan efisien; dan
    8. Penyampaian maklumbalas kepada pengadu serta penyediaan data dan laporan dengan pantas dan segera bagi memenuhi kehendak stakeholder.

    Bersesuaian dengan era teknologi dan digitalisasi kini, keperluan kepada sistem secara online adalah satu perkara yang penting untuk memantapkan pengurusan pensijilan halal dan kecekapan kakitangan dalam melaksanakan tugas. Inisiatif ini dijangka mempertingkatkan daya saing sebagai negeri peneraju dalam sektor halal global, mengurangkan birokrasi dalam proses pensijilan dan membuka peluang yang lebih besar untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.