Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

5) INOVASI DAN KEUSAHAWANAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada inovasi dan keusahawanan dalam bidang teknologi di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor menyediakan pelbagai bentuk sokongan untuk inovasi dan keusahawanan dalam bidang teknologi, termasuk Selangor Accelerator Programme (SAP) & E-Commerce Accelerator Program (ECX) yang menyokong syarikat pemula (startups) dalam sektor teknologi dan juga PKS dalam mengembangkan perniagaan mereka melalui bimbingan, latihan intensif, akses kepada pelabur, dan peluang untuk membentangkan idea kepada pelabur (demo day).

    Melalui program ini, usahawan perlu mengikuti latihan insentif selama 3 bulan dengan fokus pada:

    • Mentorship dan Bimbingan: Menyediakan akses kepada mentor dan pakar industri untuk membimbing peserta dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

     

    • Penggalakan Inovasi: Mendorong inovasi dengan memberi sokongan kepada idea-idea baru dan teknologi yang mempunyai potensi pertumbuhan.

     

    • Pembiayaan dan Permodalan: Memberikan akses kepada pembiayaan awal dan permodalan untuk membantu syarikat startup dalam mengatasi cabaran kewangan pada peringkat permulaan.

     

    • Pendidikan dan Latihan: Menyediakan kursus, bengkel, dan sumber pembelajaran lain untuk meningkatkan kecekapan dalam e-dagang, termasuk strategi pemasaran digital, pengurusan inventori, dan pengalaman pengguna.

     

    • Akses kepada Pasaran: Membantu peserta untuk mendapatkan akses kepada rangkaian dan pasaran e-dagang yang lebih besar, termasuk strategi untuk memperluas kehadiran dalam talian.

     

    • Pembinaan Hubungan: Memfasilitasi jaringan dan hubungan antara usahawan e-dagang dengan pakar industri, pelanggan potensial, dan pemodal.

    Dengan sokongan ini, Kerajaan Negeri Selangor berusaha untuk memperkuatkan ekosistem keusahawanan dan teknologi di Selangor, menjadikannya tempat yang kondusif untuk pertumbuhan dan kejayaan syarikat-syarikat teknologi tempatan.

  2. Bagaimana Kerajaan Negeri mempromosikan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan syarikat teknologi tempatan di Selangor?

    Kerajaan Negeri mempromosikan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan syarikat teknologi tempatan di Selangor, Kerajaan Negeri telah mewujudkan beberapa program untuk membantu syarikat teknologi tempatan untuk berkembang. Antaranya seperti;-

     

    1. Program Inkubator seperti UPM – MTDC Inkubator di Serdang, Uitm – MTDC di Shah Alam, FRIM – MTDC di Kepong, UKM – MTDC di Bangi dan Inkubator yang disediakan oleh SIDEC di Shah Alam untuk kemudahan syarikat pemula (start-up) memulakan perniagaan.
    2. Melaksanakan program – program pameran seperti penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) untuk membantu pihak syarikat memperkenalkan teknologi baru yang dihasilkan kepada pasaran dan memperluaskan pasaran produk sedia ada.
    3. Mewujudkan IC Design Park di Selangor untuk memperkasakan bakat dan kepakaran tempatan, memupuk perkongsian antarabangsa dan memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi.
  3. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk melibatkan komuniti setempat dalam pembangunan dan penggunaan teknologi di Selangor?

    Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membudayakan penggunaan teknologi kepada masyarakat terutamanya rakyat Negeri Selangor. Antara program yang telah diwujudkan bagi melibatkan komuniti setempat dalam pembangunan teknologi di Selangor adalah melalui penganjuran pertandingan Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) setiap tahun. AINS merupakan gabungan antara Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Selangor (diperkenalkan mulai tahun 2010) dan Program Cabaran My Innovation (diperkenalkan pada tahun 2014) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada semua penduduk di Negeri Selangor yang meliputi individu / orang perseorangan / penjawat awam, syarikat swasta, pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam mencetus idea baru yang kreatif dan inovatif serta membangunkan teknologi yang dapat memudahkan urusan seharian. Pada tahun ini terdapat 306 penyertaan daripada semua daerah di Negeri Selangor bagi pertandingan ini.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga telah mewujudkan Program Galakan Penggunaan Aplikasi Digital Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan kesedaran penggunaan teknologi dan aplikasi digital Kerajaan Negeri Selangor dikalangan komuniti dan masyarakat di Negeri Selangor. Ia juga bertujuan untuk mewar-warkan kepada orang ramai akan wujudnya kemudahan aplikasi Smart Selangor bagi kemudahan dan kebaikan rakyat di negeri ini. Melalui kempen ini, diharapkan bilangan rakyat Selangor yang menggunakan teknologi dan aplikasi digital akan meningkat seterusnya mengukuhkan lagi matlamat pembangunan aplikasi iaitu untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti serta memberikan keselesaan tambahan kepada rakyat selain daripada membudayakan gaya hidup moden seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

     

    Kerajaan Negeri juga melalui Invest Selangor dan SIDEC menganjurkan program pameran seperti SLC 2024 bagi Sektor Sains Hayat (Life Sciences) yang termasuk peralatan dan peranti perubatan, farmaseutikal, kosmetik dan bioteknologi dan SDEC 2024 bagi Sektor Ekonomi Digital, termasuk kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), dan ekosistem syarikat pemula (Startups). Program pameran ini antara komponen dalam penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS)  yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk memberikan pendedahan berkenaan teknologi – teknologi terkini kepada masyarakat disamping membantu pihak syarikat memperkenalkan produk atau teknologi yang dihasilkan kepada pasaran dan mencari pasaran baru.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Sidec Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan negeri yang lain seperti Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Platform Selangor (PLATS) dan Bahagian Pembangunan Usahawan Negeri Selangor melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) membawakan kepada warga selangor program Selangor 1000 Digital 2024. Konsep program ini pernah diadakan pada tahun 2020 dan 2022 yang sebelum ini dikenali sebagai Program Jelajah Usahawan Digital Selangor (JUDS). Kini, Program Selangor 1000 Digital kembali lagi pada tahun 2024 dan akan pergi ke 5 lokasi berlainan di dalam negeri Selangor. Program ini memfokuskan kepada dua (2) elemen utama digitalisasi iaitu memperkasakan 500 usahawan e-dagang dengan teknologi dan penyelesaian digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan serta melahirkan 500 mempengaruhi penstriman langsung (live seller) yang bakal menjana pendapatan melalui platform digital. Antara 5 lokasi yang akan diadakan adalah Shah Alam, Sabak Bernam, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Selayang.

Lampiran

Tiada Lampiran.