Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

226) INISIATIF PEDULI RAKYAT

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan program IPR yang telah dibatalkan atau yang telah dikurangkan dari segi kuota penerima?

    Untuk makluman Yang Berhormat Semenyih, 33 Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri setelah penjajaran dilaksanakan pada tahun 2019. Sehingga kini tahun 2021, sebanyak 31 IPR yang masih dilaksanakan, walaupun wabak pandemik COVID-19 melanda dan menjejaskan norma kehidupan rakyat.

    Bagi kesemua 31 IPR yang masih utuh memberikan manfaat kepada rakyat ini, anggaran atau kuota penerima masih kekal sama tanpa perubahan. Kerajaan Negeri sememangnya sedia dan sentiasa ingin memastikan rakyat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa di samping membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka kepada yang lebih baik dan cerah di masa hadapan melalui manfaat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri

  2. Apakah rasionalnya bantuan itu dibatalkan atau dikurangkan?

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, terdapat 31 IPR yang masih dilaksanakan pada tahun ini. Dua (2) Program yang tidak dapat dilaksanakan adalah Program Tuisyen Online dan Program Insentif Generasi Muda Selangor (i-Gems).

     

    Program Tuisyen Online yang diuruskan oleh Yayasan Selangor tidak dapat diteruskan disebabkan kekangan peruntukan. Walau bagaimanapun, pembelajaran tuisyen secara dalam talian (online) tetap dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Bemula tahun 2020, PTRS telah memperkenalkan pembelajaran secara dalam talian (online) kepada para pelajar disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang mana semua sedia maklum tidak dibenarkan untuk bersemuka. Oleh yang demikian, kelangsungan program tuisyen secara online masih diteruskan untuk dinikmati oleh para pelajar.

     

    Bagi Program Insentif Generasi Muda Selangor (i-Gems), terdapat keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 41/2020 yang diadakan pada 2 Disember 2020 yang telah disahkan oleh MMKN Ke 42/2020 pada 9 Disember 2020 agar pelaksanaan Program iGems ditangguhkan pada tahun 2021 bagi menilai kembali pelaksanaan program ini. Perkara ini untuk memastikan Program iGems masih relevan dan dapat memberi impak kepada golongan sasar

Lampiran

Tiada Lampiran.