Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
299) INISIATIF KERJAYA SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan lokasi jelajah Kerjaya Selangor bagi tahun 2024.
Program Jelajah Jobcare Negeri Selangor merupakan salah satu program utama anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia berkonsepkan pameran kerjaya dan temuduga terbuka. Program ini adalah usahasama Kerajaan Negeri Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) khusus untuk membantu rakyat B40 yang tiada atau kehilangan pekerjaan untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan yang serba mencabar. Program yang dilaksanakan secara berperingkat di setiap daerah dalam negeri Selangor ini memfokuskan masyarakat tempatan sebagai kumpulan sasaran utama.
Melalui program ini, para pencari kerja berpeluang untuk menerokai potensi diri dengan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan – majikan yang dipilih dalam kawasan atau daerah tersebut. Secara tidak langsung, cetusan idea ini dapat meningkatkan produktiviti masyarakat setempat untuk memajukan diri dan pada masa yang sama menjana sumber pendapatan.
Bagi tahun 2024, Program Jelajah Jobcare ini diteruskan dengan cadangan pelaksanaan adalah seperti berikut :
BIL. DAERAH TEMPAT TARIKH PELAKSANAAN 1. Petaling Barrister’s Hall PJ 17 Julai 2024 2. Sepang Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi 16 November 2024 3. Hulu Selangor Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali 29 Jun 2024 4. Gombak Dewan Beringin Taman Seri Gombak 21 September 2024 5. Klang Dewan Hamzah, Klang 5 Oktober 2024 6. Hulu Langat Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah 17 Ogos 2024 7. Kuala Langat Dewan Sri Jugra 10 Ogos 2024 8. Kuala Selangor Dewan Dato’ Penggawa Permatang 19 Oktober 2024 9. Sabak Bernam Dewan Tun Razak, Pekan Sabak Bernam 14 Disember 2024 -
Nyatakan agensi-agensi dan syarikat yang terlibat dalam menjayakan jelajah Kerjaya Selangor.
Pelaksanaan Program Jelajah Jobcare di setiap daerah ini mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai agensi dan syarikat tempatan dalam lingkungan daerah masing – masing. Syarikat yang berdaftar dan disahkan di bawah PERKESO yang mengambil bahagian sebagai panel majikan bagi pelaksanaan Program Jelajah Jobcare Tahun 2023 adalah seperti di lampiran.
Selain itu, pelaksanaan program ini mengguna pakai data dan maklumat daripada Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan (EIAS) PERKESO bagi senarai industri pilihan pencari kerja dan kekosongan aktif berdasarkan industri mengikut daerah seperti berikut:-
BIL. DAERAH INDUSTRI PILIHAN PENCARI KERJA KEKOSONGAN AKTIF BERDASARKAN INDUSTRI 1. Petaling Sektor Pembuatan Sektor Pemborongan dan Peruncitan serta Sektor Penginapan dan Makanan 2. Sepang Sektor Pengangkutan Sektor Pengangkutan 3. Hulu Selangor Sektor Pembuatan Sektor Informasi dan Komunikasi 4. Gombak Sektor Pembuatan Sektor Kewangan dan Insurans 5. Klang Sektor Pembuatan Sektor Pembuatan 6. Hulu Langat Sektor Pembuatan Sektor Pembinaan 7. Kuala Langat Sektor Pembuatan Sektor Pembuatan 8. Kuala Selangor Sektor Pembuatan Sektor Informasi dan Komunikasi 9. Sabak Bernam Sektor Pembuatan dan Pendidikan Sektor Informasi dan Komunikasi -
Adakah Kerjaya Selangor bercadang untuk mengadakan atau menambah program kompetensi bagi tujuan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja sedia ada?
Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Melawati, buat masa ini Kerajaan Negeri Selangor melalui pelbagai inisiatif sedia ada yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor telah pun membantu ramai rakyat di negeri ini khususnya graduan baru mencari pekerjaan selepas tamat pengajian bagi tujuan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja sedia ada. Antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Program Kemahiran Profesional di STDC Kampus Shah Alam telah mengadakan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes. Program ini khusus dibangunkan bagi merapatkan jurang kemahiran yang dimiliki oleh graduan selepas tamat belajar dan keperluan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Kerjasama ini menjurus kepada pemindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini berdasarkan keperluan pasaran di industri utama di dalam dan luar negara yang akan meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan. Syarikat-syarikat ini juga memberi peluang pekerjaan di syarikat mereka di dalam dan luar negara selain memberi bantuan penempatan pekerjaan di bidang industri berkaitan setelah tamat pengajian;
- Kerjasama pembangunan modul program bersama Technical University of Munich (TUM) dan beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia. Kerjasama ini dijalinkan untuk menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus TVET di STDC dengan bertumpu kepada pengkongsian strategik tenaga pakar professional dan latihan kepakaran di kalangan tenaga pengajar serta mewujudkan program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi; dan
- Program kerjasama pembangunan modul bersama konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri tersebut seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk diserap bekerja dalam syarikat berkenaan sebaik tamat latihan yang diikuti.
Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk menambah baik inisiatif sedia ada dengan memantapkan jaringan kerjasama antara penyedia latihan dan pihak industri seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas mereka tamat pengajian. Melalui kerjasama dan pelaksanaan program ini, diharap memudahkan graduan mengenalpasti dan mengisi kekosongan jawatan di mana-mana sektor awam dan swasta yang diminati dan bersesuaian dengan kemahiran yang diperoleh.